http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

PM kutuk serangan gereja

Oleh ZULKIFLI JALIL dan HELMI MOHD. FOAD
pengar...@utusan.com.my


PUTRAJAYA 8 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengutuk dua kejadian serangan ke 
atas gereja dan satu laporan kesugutan semalam yang dilakukan oleh mereka yang 
tidak bertanggungjawab, dipercayai ekoran isu kalimah Allah. 
Tegas Perdana Menteri, perbuatan terkutuk itu akan menghancurkan keharmonian 
yang selama ini dinikmati oleh seluruh rakyat negara ini. 

Serentak itu, beliau mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan 
memastikan pihak berkuasa meningkatkan kawalan terhadap rumah-rumah ibadat 
termasuk gereja.

"Kepelbagaian agama sebagai satu amalan hidup yang kita saling hormat 
menghormati antara satu sama lain tidak boleh digugat oleh sesiapa.

"Kerajaan akan mengambil apa jua tindakan yang mampu dilakukan untuk mencegah 
perbuatan seperti itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat 
Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas dua kejadian membakar gereja dengan sengaja di Lembah 
Klang pada awal pagi ini. 

Dua buah gereja terbabit ialah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan 
Gereja The Assumption di Jalan Templer, Petaling Jaya.

Laporan media menyebut, sekumpulan pemuda membaling bahan-bahan mudah terbakar 
ke arah tingkat bawah gereja The Metro Tabernacle yang terletak pada sebuah lot 
kedai dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu. 

Sementara itu, pada pukul 4 pagi, bom petrol dilaporkan dilontarkan ke gereja 
The Assumption namun tiada kerosakan berlaku.

Perdana Menteri menegaskan, semua pihak perlu menggunakan kaedah dan saluran 
yang sesuai dalam menangani sebarang masalah yang berbangkit dalam negara.

"Kita tidak boleh ambil tindakan yang melampaui batas undang-undang sehingga 
boleh mengancam keharmonian negara," katanya.

Dalam hal ini, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menuding jari 
kepada mana-mana pihak sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk 
menjalankan siasatan rapi ke atas insiden berkenaan.

"Apa juga tindakan yang diambil perlu berasaskan kepada fakta dan undang-undang 
negara," katanya.

Kepada soalan adakah beliau memerlukan laporan terkini dari semasa ke semasa 
daripada Musa mengenai kejadian berkenaan, beliau berkata:

"Saya tidak perlukan laporan dari minit ke minit tetapi saya sudah bercakap 
dengan beliau (Musa) semalam dan hari ini serta bercakap juga dengan Menteri 
Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein).

"Jika bukti-bukti diperoleh (mengenai kejadian itu), laporan akan diberikan 
kepada saya," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, beliau telah mengarahkan pihak polis mengambil 
tindakan berjaga-jaga dengan rancangan kumpulan yang mengadakan demonstrasi 
hari ini berhubung isu kalimah Allah. 

"Saya harap dengan kenyataan dan tindakan polis, orang ramai tidak akan 
melanggar undang-undang negara," katanya.


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke