**  *Mau'izhatul Mu'minin min IHYA' ULUMIDDIN
(Bimbingan Mu'min dari Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama) ... *
**
*
*  Forwardkan kat kengkawan, mudah-mudahan mendapat manfaat dan jangan lupa
sertakan sekali maklumat sumber, melainkan anda ingin bertanggungjawab ke
atas apa yang disebarkan.
*

*---------------------------------------------------------------*
**
**
*Melaksanakan keadilan dan menjauhi penganiayan dalam mu'amalah *

*  *

*          *Ketahuilah bahawasanya bermuamalah itu terkadang-kadang berlaku
atas dasar penganiayaan, sehingga orang yang menjalankan mu'amalah itu
terdedah kepada kemurkaan Allah Ta;ala. Dan penganiayaan yang membawa
kemudharatan kepada orang lain itu terbagi kepada bahagian yang bahayanya
menyentuh pihak umu atau orang ramai sekalian, dan bahagian yang bahayanya
menimpa orang perseorangan saja.



*BAHAGIAN PERTAMA: MU'AMALAH YANG BAHAYANYA MENYENTUH UMUM *



         Adapun mu'amalah yang membawa bahaya kepada sekalian orang ramai
itu ada banyak, terutama sekali yang berikut ini:



(1)                Penimbunan atau memonopoli: Orang yang menjual
barang-barang keperluan sehari-hari bila menimbun atau menahan barang-barang
itu dari penjualan untuk menunggu naik hartanya adalah suatu kezaliman
secara umum yang mana agama mengutuk pelakunya, terutama sekali pada masa
kekurangan barang-barang makanan sedangkan manusia yang memerlukannya
semakin bertambah. Maka menahan penjualannya tentu sekali akan menimbulkan
banyak kesusahan kepada umum. Sebaliknya jika barang-barang keperluan itu,
sememangnya banyak dalam pasaran dan orang ramai tidak menunjukkan semacam
keperluan kepadanya, atau tidak mahu membelinya melainkan dengan harga yang
rendah, lalu tuan punya barang-barang itu ingin menyimpannya sehingga
meningkat semula harganya dan niatnya bukanlah untuk menunggu masa
kekurangan barang-barang itu, maka yang demikian itu bukanlah dikira
menimbun, dan ia tidak termasuk dalam ketegori menyusahkan orang-orag ramai.
Tetapi jika masa itu memang masa kekurangan barang-barang keperluan, dan
tuan punya barang-barang itu berniat menahan penjualannya, maka dalam hal
ini tentulah nyata menimbulkan mudharat pada orang ramai dan yang demikian
tidak syak lagi hukumnya haram.



Meskipun keadaan tiada menampakkan mudharat, namun menimbun makanan itu
tetap tidak terlepas dari hukum makruh, kerana tujuan orang yang menimbun
itu ialah menantikan masa timbulnya bahaya, iaitu kenaikan harganya.
Manakala hukum menantikan masa timbulnya bahaya itu dilarang keras oleh
agama, sebagaimana menantikan adanya bahaya itu dilarang kerasa oleh agama
sebagaimana menantikan adanya bahaya itu sendiri. Walau bagaimanapun,
peringkat-peringkat bahaya itu berbeda-beda kadarnya, menurut perbedaan
tingkatan-tingkatan makruh dan haram.



(2)                Mengedarkan wang palsu dalam berjual beli atau
bertukar-tukar mata wang. Ini suatu penganiayaan kerana ia membahayakan
orang yang berjual beli, jika ia tiada mengetahui. Jika ia mengetahui maka
ia telah menipu orang lain pula, sehingga mata wang palsu itu bertukar-tukar
tangan, dan tersebarlah mudharat itu di antara mereka yang tentu sekali akan
menimbulkan berbagai-bagai kerosakan. Dengan itu maka dosa sekalian orang
yang menyebarkan mata wang palsu itu balanya akan kembali kepada dirinya,
sebab dialah punca dosa tersebut sebagai orang yang membuka pintunya.



Ada pendapat yang mengatakan, bahwa membelanjakan wang palsu itu lebih berat
dosanya daripada mencuri seratus dirham, kerana mencuri itu adalah maksiat
yang dilakukan sekali saja, dan perkaranya telah selesai dan haibis.
Manakala membelanjakan wang palsu itu, mungkin sekali ia akan menanggung
dosanya, sehingga selepas ia mati sampai seratus atau dua ratus tahun, yakni
sehinggalah rosak atau binasa wang palsu itu barulah terputus dosanya.
Tambahan pula ia akan menanggung ap yang telah terkurang daripada harta
benda orang lain yang mendapat wang palsu tersebut.


Alangkah bahagianya manusia yang bila mati, akan mati bersamanya semua
dosa-dosanya akan celaka yang tak sudah-sudah pula bagi manusia yang bila
mati, akan berterusan pula dosa-dosanya seratus tahun atau lebih dari itu,
ditimpakan ke atasnya azab dalam kubur dan akan ditanya mengenainya sehingga
perkara itu tidak berlaku lagi.


         Allah telah berfirman:



         "* Kami (Allah mencatat apa yang telah mereka lakukan terdahulu
dan kesan-kesan dari amalan-amalan mereka."         *
(Yasin: 12)



         Maksudnya kami tuliskan juga segala yang terkemudian dari
kesan-kesan perbuatan mereka, sebagaimana kamu menuliskan yang terdahulu
daripadanya.

         Allah telah berfirman lagi:



         *"Akan diberitahukan kepada manusia pada hari itu apa saja amalan
yang dilakukan terdahulu dan terkemudian.             *
(al-Qiyamah: 13)



         Maksudnya, sebenarnya diperkirakan di kemudian hari kesan
amalannya dari anjuran-anjuran yang tak baik, yang dilakukan oleh
orang-orang sesudah matinya.
         Dalam mata wang yang palsu itu ada beberapa perkara yang harus
diperhatikan iaitu:

(1)                Jika wang palsu itu dikembalikan kepadanya semula, maka
hendaklah ia membuangnya di dalam perigi suapaya tidak terjatuh ke tangan
orang lain. Ingatlah jangan sampai ia menggunakan wang palsu itu semula
dalam perkara jual belinya yang lain. Jika ia mencacatkan wang itu sehingga
tidak laku lgi, tidak mengapa.

(2)                Seorang peniaga hendaklah tahu membedakan antara mata
wanga yang tulen dengan mata wang yang palsu, supaya tidak tersalah ambil
lalu dia memberikannya pula kepada orang lain tanpa diketahuoi mata wang itu
sebenarnya palsu. Maka berdosalah ia kerana perbuatann itu, disebabkan
kecuaiannya tidak mahu mempelajari mengenal mata wang. Sebab setiap
pekerjaan yang kalau diketahuinya dapat dijadikan bahan nasihat kepada kaum
Muslimin, wajiblah ia mempelajarinya.


(3)                Jika seseorang mempunyai mata wang yang bulatannya kurang
besar dari bulatan mata wang negerinya, maka hendaklah ia memberitahu orang
yang bermu'amalah dengannya. Ataupun jika ia hendak menggunakan juga, maka
bolehlah diberikannya kepada orang yang ia benar-benar mengetahui bahwa
orang itu tidak akan menggunakannya lagi kepada orang lain secara penipuan.
Tetapi jika ia menyerahkan mata wang itu kepada orang yang mengedarkannya
lagi kepada orang lain, maka penyerahannya samalah seperti menyerahkan
kepada orang yang mahu melakukan kerosakan. Malah keadaanya samalah seperti
menjual buah anggur kepada orang yang hendak membuat arak. Hukum jual beli
serupa itu adalah haram dan dikira membantu dalam melakukan perkara yang
salah dan dosa. Manakala penjualannya disamakan seperti berkongsi dosa
dengan pembeli yang membuat arak itu. Memelihara diri dari tercebur ke dalam
perkara-perkara serupa ini dalam urusan perniagaan adalah lebih patut
diberatkan daripada memelihara amalan-amalan ibadat sunnat dan menyediakan
diri untuk melakukannya.


--
*  Forwardkan kat kengkawan, mudah-mudahan mendapat manfaat dan jangan lupa
sertakan sekali maklumat sumber, melainkan anda ingin bertanggungjawab ke
atas apa yang disebarkan.

Kirim email ke