Pelaburan saham menerusi internet haram, kata Majlis Fatwa
Sebarang pelaburan saham melalui Internet yang menjamin keuntungan secara tetap
adalah haram kerana ia mengandungi unsur riba dan gharar (keraguan), demikian
diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin,
menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak terlibat dengan pelaburan
seumpama itu, seperti yang ditawarkan oleh Swiss Cash Mutual Fund, kerana masih
banyak alternatif yang berlandaskan Islam yang boleh disertai untuk mendapatkan
pulangan kewangan.
Bercakap kepada pemberita selepas Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di
Kuala Terengganu Khamis, beliau berkata Majlis Fatwa Kebangsaan turut
memutuskan bahawa penggunaan nada dering ayat-ayat Al-Quran atau azan pada
telefon bimbit pada prinsipnya "tiada halangan atau diharuskan".
Bagaimanapun, pengguna telefon bimbit terbabit perlulah menjaga adab Islam
dengan tidak menggunakannya di tempat yang tidak sesuai yang boleh mencemarkan
kesucian ayat-ayat al-Quran itu sendiri.
Majlis itu juga membuat keputusan bahawa pameran mengenai jin, hantu dan
keranda adalah ditegah kerana ia boleh mendatangkan mudarat kepada akidah umat
Islam.
"Perkara-perkara ini tidak boleh dicapai (oleh akal fikiran) manusia kerana ia
membabitkan alam ghaib. Kita juga tidak mahu menyogokkan sangat kepada orang
ramai mengenai perkara-perkara tahyul dan khurafat yang hakikatnya kita tidak
tahu.
"Jadi tidak perlulah kita mengambil perhatian ataupun memperbesarkan perkara
ini (dengan mengadakan pameran seumpama itu)," katanya.
Muzakarah kali ini turut mencapai kata sepakat untuk menerima pakai keputusan
muzakarah ke-44 pada 25 Jun 1998 berhubung penggunaan nama saudara baru iaitu
nama itu hendaklah tidak berunsur lucah dan hendaklah memberi makna yang sesuai
dan baik.
"Perlis juga bersetuju pada prinsipnya. Mereka hanya berbeza sedikit iaitu
masih mengekalkan bin atau binti bapa yang bukan Islam itu," katanya merujuk
kepada keputusan Majlis Fatwa Negeri Perlis bahawa bagi orang bukan Islam yang
memeluk agama Islam adalah dilarang menukar nama kepada "bin atau binti
Abdullah" sebaliknya mereka wajib mengekalkan nama bapa atau keturunan mereka.
____________________________________________________________________________________
Now that's room service! Choose from over 150,000 hotels
in 45,000 destinations on Yahoo! Travel to find your fit.
http://farechase.yahoo.com/promo-generic-14795097