*Tip-tip Bagaimana Menjadi Jutawan Daripada Al-Quran
Tip-tip Bagaimana Menjadi Jutawan Internet Daripada Al-Quran*

Mahmud Ibn Labid r.a. pernah berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah
bersabda, "Dua perkara yang tidak disenangi oleh anak Adam. Mati, padahal
mati itu adalah lebih baik dari dugaan (kesesatan). Harta yang sedikit,
padahal harta yang sedikit meringankan hisab. [1]

Namun sekiranya anda ingin juga menjadi seorang jutawan, Allah s.w.t telah
berfirman di dalam surah An-Nuur ayat 37 hingga 38, "(Ibadat itu dikerjakan
oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan
atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan
solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya
berbalik-balik hati dan pandangan."

"(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan
sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi
dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa
yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung."

Bermaksud, dengan mengingati Allah, mendirikan solat, memberi zakat dan
sedekah, takutkan hari kiamat kerana akan diadili, seseorang itu akan
mendapat limpah kurnia Allah dan pembalasan yang paling baik. Allah
sesungguhnya satu-satunya sumber segala rezeki dan Dia akan menambahkan
kurniaNya kepada hamba yang mempunyai ciri-ciri seperti di atas.

Kajilah Al-Quran dengan sebenarnya-benarnya, kerana tips untuk menjadi
jutawan banyak terdapat di dalam Al-Quran. Terjemahan Al-Quran bermodalkan
RM20 di pasaran. Menurut Abu Said r.a., Allah berfirman di dalam sebuah
hadith qudsi, "Sesiapa yang disibukkan oleh Al-Quran daripada berzikir dan
meminta kepadaKu, maka Aku akan memberikan kepadanya sesuatu yang lebih
utama daripada diberikan kepada orang yang meminta kepadaKu" [2]

Sekiranya anda bukan berniat untuk menjadi jutawan, tetapi sekadar ingin
hidup sederhana, beribadat kepada Allah. Serta dalam masa yang sama tidak
mahu mempunyai bebanan hutang dan dikurniakan kecukupan dalam semua perkara,
amalkan membaca Surah Al-Waqiah setiap malam. Menurut Ibnu Mas'ud,
Rasulullah s.a.w telah bersabda, "Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah pada
setiap malam, ia tidak akan ditimpa kemiskinan selama-lamanya."[3]

Sekiranya anda sekarang berada di dalam keadaan terdesak, ditimpa kesusahan,
memerlukan "fast-cash" untuk sesuatu perkara mustahak, maka ikutlah petua
Rasulullah s.a.w. Di dalam sebuah hadith yang diriwayat oleh Huzaifah r.a.,
apabila Rasulullah s.a.w mengalami kesulitan, beliau akan segera mengerjakan
solat.[4] Solat yang dimaksudkan adalah solat sunat. Ini adalah selaras
dengan firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 45, "Dan mintalah
pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan
sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang
khusyuk".

Di dalam riwayat lain diceritakan oleh Abdullah bin Salam r.a., ketika
keluarga Rasulullah menghadapi sebarang kesempitan rezeki, beliau akan
memerintahkan mereka mendirikan solat dan membaca ayat 132 surah
Taha.[5]Firman Allah di dalam ayat berkenaan, "Dan perintahkanlah keluargamu
serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar
menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang
memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi
orang-orang yang bertaqwa."

Kebanyakkan yang mengamalkan tip ini mendapat kemurahan rezeki yang luas dan
"low profile". Mereka tidak terburu-buru dan tergesa-gesa dalam mengejar
kesenangan. Kebanyakkan mereka akhirnya menjadi komited dalam beribadat atau
melakukan aktiviti dakwah. Mereka hanya melakukan sedikit pekerjaan dunia,
namun kurnia yang diperolehi melebihi apa yang mereka kerjakan.

Wallahu'alam.

http://webblog.myjodoh.net/2007/06/20/tip-tip-bagaimana-menjadi-jutawan-daripada-al-quran/

-- 


~~ www.myjodoh.net ~~
Segalanya bermula di sini

Kirim email ke