Note: forwarded message attached.
Do you Yahoo!?Yahoo! Domains - Claim yours for only $14.70/year--- Begin Message ---
Assalammualaikum...
Kepenatapan Along yang dirindui selalu,
Termasuk yang ini, aku tidak pasti untuk kali ke berapakah warkah aku
layangkan buatmu. Setiap kali harapan kusidai agar Along kembali menitipkan
bicara buatku, setiap kali itu jugalah harapan murni itu akan tersadai.
Namun aku tidak pernah berputus asa. Demi darah yang mengalir di dalam
tubuhku. Demi insan mulia itu yang masih menantimu. Dan demi esokmu yang
lebih bermakna, aku lagang jua tikar bicara. Moga untuk kali ini, Along
bisa memahami segalanya dengan hati yang jitu.
Tatkala aku coretkan warkah ini, malam begitu sunyi. Sesunyi hatiku.
Sesunyi hati Idham, Farhan dan Idiza. Malah lebih daripada itu, kesunyian
lebih hebat mencengkam di sukma ibu. Semenjak Along pergi meninggalkannya,
ibu sering berkata... dia rindukan Along. Rindukan suasana bagai yang
pernah dinikmati dulu. Dulu yang mengikat sopan-santun dan budi pekerti
Along.
Kudengar getar suara ibu mengalunkan surah Yassin. Menghadiahkan buat arwah
ayah yang terpanggil lebih dulu. Tahukah kau Along, telah dua musim ayah
pergi meninggalkan kita? Pergi bersama terkilan rasa. Tanya ayah... mengapa
di saat-saat akhir ini, ayah telah kehilangan seorang daripada lima orang
anak ayah? Mengapa di sisi ayah cuma empat? Sedang sebenarnya ayah
mempunyai Irdina, Idinaz, Farhan, Idham dan Idiza.
Berulang kali ayah bertanya begitu. Namun satu pun tak terjawab. Ibu hanya
mampu memandang wajahku dengan sinar mata yang berkaca. Ada sesuatu yang
meruntun kalbu. Namun tak terluahkan. Terlintas di fikiranku, mengapa
tergamak Along melukakan hati ibu. Hati ayah. Hati kami adik-adik. Mengapa
Along tinggalkan syurga kasih sayang kita sekeluarga.
Tidak tersentuhkah hati Along dengan jerih payah ayah mencari rezeki? Tidak
cukup dengan pengorbanan ayah, ibu turut membantu. Lima orang anak ayah,
semuanya bersekolah. Tiga di peringkat menengah. Dua di sekolah rendah.
Bayangkan segala perbelanjaan yang perlu disediakan. Segala keperluan yang
harus dipenuhi. Pernahkah wang belanja Along ke sekolah terputus? Tak
pernah kan, Along?
Along dididik dengan penuh kasih sayang. Dijentik sekalipun payah.
Perasaaan dijaga. Tetapi, mengapa Along tidak mahu menjaga hati ibu? Hati
ayah? Hati kami adik beradik? Mengapa tergamak melukakan hati kami semua
dengan tindakan mengikut perasaan? Tunduk kepada runtunan hati remaja. Yang
masih kabur menilai antara kaca dan permata.
Along anak sulung. Along harapan ibu ayah. Biar menjadi contoh pada
adik-adik. Dan sememangnya Along pelajar cemerlang. Keputusan peperiksaan
Along jarang mengecewakan. Sejuk perut ibu yang melahirkan. Bangga hati
ayah yang bersusah payah mencari rezeki untuk kita sekeluarga. Terasa
hilang penat lelah.
Cita-cita Along mahu menjadi pendidik. Ibu merestui. Ayah menggalakkan.
Sesuai benar dengan jiwa Along seorang wanita. Setiap kali menandatangani
kad prestasi Along, ayah tak lupa mengalungkan ucapan tahniah. Belajar
sungguh-sungguh, Along. Nanti adik-adik bangga dengan Along. Biar Along
menjadi pembuka tirai kejayaan keluarga kita. Tinggi harapan ibu. Harapan
ayah. Setinggi kasih sayang terhadap Along. Tetapi sudahnya, apa yang ada?
Along berubah sejak kenal si Beeba. Kata Along, dia rakan yang baik. Along
kenalnya di mana? Selamba jawab Along, di pusat membeli belah di bandar.
Pastinya perkenalan itu tercipta sewaktu Along lepak di situ. Argh Along,
tahun itu tahun penting buat Along. SPM menanti Along dengan seribu
ranjaunya. Bersedia menerima rempuhan keyakinan Along. Biar tercapai impian
pangkat satu. Tetapi malang yang teramat walang, tahun itulah yang
menyaksikan perubahan sikap Along. Setiap pagi lagak Along bagai biasa.
Lengkap berpakaian sekolah. Tetapi langkah Along melencong ke lain. Along
lepak di pusat permainan video. Menghabiskan duit saku yang dibekalkan ibu.
Along jamu mata dengan merayau-rayau di pusat membeli-belah. Along juga
sudah pandai pulang lewat. Bila ditanya, pantas Along menyatakan ada kelas
tambahan. Benarkah itu, Along? Masih ingat tak lagi pada peristiwa malam
itu? Hari itu Along pulang lewat dari biasa. Jam 9 malam Along sampai di
rumah. Pulang dengan pakaian biasa. Ke mana baju sekolah Along? Ayah
hairan. Ibu pun begitu. Tidakkah pagi tadi Along keluar dengan pakaian
sekolah? Mengapa pula bertukar baju? Kata Along - "Along pinjam baju kawan,
mak. Baju sekolah Along kotor sebab Along terjatuh." Maha Suci Allah yang
lebih mengetahui.
Lima bulan Along melakonkan watak hebat. Penuh pembohongan. Hinggalah suatu
hari yang telah diizinkan Tuhan, Along terserempak dengan Usu Adi. Terkejut
Along. Pucat lesi. Rakan-rakan Along selamba malah sinis menatap wajah Usu
Adi. Remaja hari ini, pentingkan keseronokan semata. Tidak