[Mymasjid] Sabda Rasullulah saw

2002-03-26 Terurut Topik forum_mymasjid
Diriwayatkan daripada Jundub bin Abdullah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: 
Ada seseorang berkata: Demi Allah, Allah tidak akan mengampuni dosa Si Polan. Kemudian Allah s.w.t berfirman: Siapakah yang bersumpah di atas namaKu bahawa Aku tidak mengampuni dosa Si Polan? Sesungguhnya Aku telah mengampuni dosa Si Polan dan Aku telah menghapuskan amal kebaikan kamu (orang yang bersumpah tadi). 

(Hadis riwayat Imam Muslim). 



Kesimpulan Hadis: 

1- Rahmat dan keampunan Allah s.w.t terhadap hambaNya adalah terlalu luas. 
2- Ancaman bagi sesiapa yang memandang remeh terhadap salah seorang dari kalangan umat Islam. 
3- Kita tidak boleh menjatuhkan hukum terhadap apa yang berada di dalam bidang kuasa Allah s.w.t kerana tindakan yang sedemikian adalah merupakan adab yang kurang sopan terhadap Allah s.w.t.  'the truth is out there'Oleh :TuKuNmyMasjid-Mengembalikan kegemilangan Masjid

[Mymasjid] Sabda Rasullulah saw

2002-03-25 Terurut Topik forum_mymasjid
Diriwayatkan daripada Abu Zar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda kepada aku: 
Bertakwalah kepada Allah walau di mana sahaja kamu berada dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya kebaikan tadi akan menghapuskan kejahatan dan bergaullah bersama manusia dengan akhlak yang mulia. 

(Hadis riwayat Imam Tirmizi). 



Pengajaran Yang Boleh Diambil Dari Hadis: 

1- Sepatutnya umat Islam sentiasa berbekal dengan takwa dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t sama ada dalam keadaan tersembunyi ataupun dalam keadaan terbuka kerana semuanya itu diperhatikan oleh Allah s.w.t. 
2- Segera melakukan amalan ketaatan kepada Allah s.w.t supaya Allah mengampunkan segala dosa yang dilakukan. 
3- Akhlak yang mulia akan menaikkan taraf seseorang umat Islam ke darjat yang paling tinggi di dunia dan akhirat. 
4- Di antara akhlak yang mulia ialah bermuka manis, membuang sesuatu yang boleh menyakiti orang lain, melakukan kebaikan dan bergaul dengan orang lain sebagaimana yang anda suka jika ia dilakukan kepada anda.  'the truth is out there'Oleh :TuKuNmyMasjid-Mengembalikan kegemilangan Masjid

[Mymasjid] Sabda Rasullulah saw

2002-03-22 Terurut Topik forum_mymasjid
Diriwayatkan daripada Abu Qatadah, daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: 
Ketika aku sedang sembahyang (mengimami sembahyang), aku bercadang ingin memanjangkan bacaannya, tiba-tiba aku mendengar tangisan anak kecil, lalu aku percepatkan sembahyang (membaca surah yang pendek) kerana tidak mahu mengganggu sembahyang ibunya. 

(Hadis riwayat Imam Bukhari). 



Kesimpulan Hadis: 

1- Belas kasihan Rasulullah s.a.w terhadap sahabat-sahabat baginda serta menjaga keadaan orang-orang tua dan anak kecil dari kalangan mereka. 
2- Toleransi dan kesenangan Islam di mana ia menjaga keadaan manusia kemampuan mereka malah Allah tidak membebankan seseorang di luar batas kemampuannya. 
3- Para Imam dan pengkhutbah hendaklah mencontohi Rasulullah s.a.w supaya orang ramai tidak merasa jemu dan manfaat serta prihatin mereka akan dapat diperolehi.  'the truth is out there'Oleh :TuKuNmyMasjid-Mengembalikan kegemilangan Masjid

[Mymasjid] Sabda Rasullulah saw

2002-03-21 Terurut Topik forum_mymasjid
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: 
Pada hari kiamat nanti kamu semua akan diperintahkan supaya mengembalikan semua hak-hak yang diambil kepada yang berhak menerimanya. Sehingga kambing yang tidak bertanduk apabila ditanduk oleh kambing yang bertanduk, ia diberi hak untuk membalas kambing yang bertanduk tersebut. 

(Hadis riwayat Imam Muslim). 



Kesimpulan Hadis: 

1- Keadilan Allah s.w.t di hari kiamat di mana kebaikan seseorang yang melakukan kezaliman akan diambil dan dosa-dosa orang yang dizalimi akan dicampakkan kepadanya. 
2- Pada hari kiamat nanti, Allah s.w.t akan menghimpunkan kesemua jenis binatang untuk diadili dengan melaksanakan qisas di antara mereka kemudian dijadikan tanah kembali sebagaimana yang disebut di dalam hadis yang lain. 
3- Dorongan supaya cepat menyerahkan hak orang lain kepada pemiliknya.  'the truth is out there'Oleh :TuKuNmyMasjid-Mengembalikan kegemilangan Masjid

[Mymasjid] Sabda Rasullulah saw

2002-03-20 Terurut Topik forum_mymasjid
Diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Ansariy r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang puasa pada hari Asyura. Kemudian baginda menjawab: 
Puasa itu dapat menebus dosa setahun yang lalu. 

(Hadis riwayat Imam Muslim). 



Kesimpulan Hadis: 

1- Penjelasan tentang kelebihan hari Asyura dan kelebihan berpuasa pada hari tersebut. 
2- Allah s.w.t akan menghapuskan dosa-dosa melalui puasa.  'the truth is out there'Oleh :TuKuNmyMasjid-Mengembalikan kegemilangan Masjid

[Mymasjid] Sabda Rasullulah saw

2002-03-18 Terurut Topik forum_mymasjid
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w 
berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam) dan memerintahkan umatnya supaya berpuasa pada hari tersebut. 

(Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim). 



Kesimpulan Hadis: 

1- Hari Asyura adalah hari ke 10 bulan Muharam. 
2- Arahan supaya berpuasa pada hari Asyura adalah atas dasar sunat Muakkad 'the truth is out there'Oleh :TuKuNmyMasjid-Mengembalikan kegemilangan Masjid

[Mymasjid] Sabda Rasullulah saw

2002-03-17 Terurut Topik forum_mymasjid
Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w pernah ditanya: 
Puasa apakah yang lebih baik selain dari puasa pada bulan Ramadan? Baginda menjawab: Puasa pada bulan Syaaban untuk mengagungkan bulan Ramadan. Kemudian baginda ditanya: Sedekah apakah yang lebih baik? Baginda menjawab: Sedekah pada bulan Ramadan. 

(Hadis riwayat Imam Tirmizi). 



Kesimpulan Hadis: 

1- Penjelasan bahawa puasa yang lebih baik selain dari puasa pada bulan Ramadan adalah puasa bulan Syaaban untuk mengagungkan bulan Ramadan. 
2- Kelebihan bulan Ramadan dan persediaan untuk menyambutnya dengan berpuasa pada bulan Syaaban. 
3- Galakan supaya bersedekah terutamanya pada bulan Ramadan kerana ganjaran pahala amalan yang dikerjakan pada bulan tersebut akan digandakan.  'the truth is out there'Oleh :TuKuNmyMasjid-Mengembalikan kegemilangan Masjid

[Mymasjid] Sabda Rasullulah saw

2002-03-16 Terurut Topik forum_mymasjid
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: 
Ada lima kewajipan yang perlu ditunaikan oleh seorang Islam terhadap seorang Islam yang lain: Menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri jemputan dan mendoakan orang yang bersin (iaitu menyebut Yarhamukallah apabila dia menyebut Alhamdulillah). 

(Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim). 



Kesimpulan Hadis: 

1. Menjawab salam adalah fardhu ain, jika orang yang diucapkan salam hanya seorang dan menjadi fardhu kifayah, jika orang yang diucapkan salam itu ramai. 
2. Penjelasan hak dan kewajipan seorang Islam terhadap saudaranya sesama Islam seperti menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah dan sebagainya. 
3. Keagungan Islam dalam mengukuhkan ikatan persaudaraan dan kasih sayang di kalangan umat Islam.  'the truth is out there'Oleh :TuKuNmyMasjid-Mengembalikan kegemilangan Masjid

[Mymasjid] Sabda Rasullulah saw

2002-03-13 Terurut Topik forum_mymasjid
Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: 
Setiap amalan disertai dengan niat. Setiap amalan seseorang adalah bergantung kepada apa yang diniatkannya. Oleh yang demikian sesiapa sahaja yang berhijrah (dari Mekah ke Madinah) kerana Allah dan RasulNya (berhijrah demi mengagungkan dan melaksanakan perintah Allah dan RasulNya), maka hijrahnya itu tertuju kepada Allah dan RasulNya (diterima dan diredhai oleh Allah) tetapi sesiapa yang berhijrah demi kepentingan dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya itu terbatas kepada sesuatu yang menjadi tujuannya sahaja (tidak diterima oleh Allah). 

(Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim). 



Kesimpulan Hadis: 

1- Niat adalah hasrat dan keinginan hati untuk melakukan atau meninggalkan sesuatu perkara. 
2- Niat terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut pembahagian amalan dan perkataan. 
3- Kebaikan amalan dan penerimaannya di sisi Allah adalah bergantung kepada kebaikan niat mengerjakannya. 
4- Penyertaan niat yang baik boleh mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada umat Islam.  'the truth is out there'Oleh :TuKuNmyMasjid-Mengembalikan kegemilangan Masjid

[Mymasjid] Sabda Rasullulah saw

2002-03-12 Terurut Topik forum_mymasjid
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a, daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: 
Sesiapa yang tidak menyayangi kanak-kanak dan tidak menghormati hak orang yang lebih tua, dia tidak termasuk di dalam golongan kami. 

(Hadis riwayat Abu Daud). 



Kesimpulan Hadis: 

1- Dorongan supaya berlemah-lembut dan berkasih-sayang sesama umat Islam. Kasih-sayang ini direalisasikan dengan menyayangi kanak-kanak Islam secara kasihan-belas dan buat baik terhadap mereka. 
2- Galakan supaya memuliakan orang yang lebih dewasa dan menghormati mereka. 
3- Sikap tidak menyayangi kanak-kanak atau tidak menghormati orang yang lebih tua adalah bukan dari ajaran Islam dan bukan dari sunnah Nabi s.a.w.  'the truth is out there'Oleh :TuKuNmyMasjid-Mengembalikan kegemilangan Masjid