Untuk dikongsi bersama.
Sumber: tidak diketahui...
Persistensi (persistency) adalah suatu sikap tidak mudah mengalah terhadap
sebarang halangan, dugaan, cabaran dan masalah dalam merealisasikan sesuatu
matlamat. Kejayaan sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Kalau
ia sesuatu yang mudah maka pastilah tiada manusia gagal. Sedangkan kajian
menunjukkan 95% daripada manusia, selepas usia 55 tahun hanya hidup
bergantung kepada duit pencen. Itu bagi yang bekerja kerajaan. Jauh sekali
mereka ketika itu mencapai tahap yang boleh dikatakan "financially
independent" . Begitu juga dengan pelajar, kajian menunjukkan setiap tahun
hanya 13% - 14% pelajar yang mampu melanjutkan pelajaran ke institusi
pengajian tinggi. Bagi yang kini berada di institusi pengajian tinggi pula,
80% daripada mereka menamatkan pengajian setakat ijazah kelas kedua atau
ketiga.
Fenomena di atas jelas menunjukkan ramai manusia gagal mencapai yang terbaik
kerana cepat berpuashati dengan pencapaian mereka. Ada sesetengahnya cuba
melakukan lebih jauh tetapi akhirnya merasa kecewa hanya setelah beberapa
kali sahaja mencuba. Saya teringat baris kata-kata yang pernah saya terbaca
dahulu, "When the going gets tough, the tough get going", dan satu lagi,
"Quitters never win and winners never quit". Kata-kata ini telah sekian lama
saya sematkan dalam hati saya dan dijadikan azimat bagi meraih kekuatan
setiap kali berhadapan dengan cabaran atau ketika berada diambang kegagalan.
Dengan sikap persistensi yang tinggi sesiapa sahaja boleh berjaya. Hanya
faktor masa sahaja menjadi penentu kejayaan itu.
Cuba kita lihat bagaimana persistennya Nabi Muhammad s.a.w
dalam mengembangkan agama Allah dizaman jahiliyah dahulu hingga
terbentuknya sebuah negara Islam yang digeruni lawan dan dihormati. Tidak
seperti rasul-rasul sebelumnya, Nabi Muhammad s.a.w mengembangkan Islam
tanpa bergantung kepada mukjizat yang mencarik adat selain
daripada Al-Quran. Baginda memulakan syiarnya ketika berusia 40 tahun
setelah menerima wahyu pertama. Hanya kerana mahu membawa
masyarakatnya beriman kepada Allah, baginda telah diejek, dicemuh, dilontar
dengan batu. Pengikut-pengikutny a diseksa. Keluarga mereka didera
dan dihina. Semuanya ini sedikitpun tidak menjejaskan kemahuan baginda untuk
melihat Islam tegak dibumi Allah ini. 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di
Madinah adalah satu masa yang bukan pendek. Sikap persistensi sebeginilah
yang perlu ada sekiranya seseorang itu mahukan kejayaan. Nabi Muhammad
s.a.w dan para sahabatnya membuktikan bahawa kebolehan seorang manusia cukup
luar biasa dan mampu menggoncang dunia selagi tidak lari dari matlamat
perjuangan, rela berkorban dan sanggup melakukan apa sahaja untuk berjaya.
Kenapa mesti berjuang 23 tahun sedangkan Allah boleh sahaja memberikan
kemenangan mudah kepada rasulnya? Sebabnya untuk manusia selepas itu
menjadikan kehidupan dan perjuangan itu suatu tauladan. Salah satu darinya
ialah sikap gigih dan tidak putus asa dari mengharap kemenangan dari Allah.
Seorang jurujual berjaya cukup faham dengan teori persistensi ini. Fikiran
mereka telah diprogramkan bahawa untuk melakukan satu jualan yang berjaya
mereka perlu menemui 10 orang pelanggan berpotensi. Dengan fahaman matematik
yang cukup mudah ini mereka berusaha tanpa kenal erti jemu. Setelah satu
kegagalan mereka merasa lebih gembira kerana mereka cuma tinggal 9 orang
lagi sebelum mendapat kejayaan. Mereka terus berusaha dan kejayaan jualan
pertama itu mungkin terletak pada cubaan yang ke-5, ke-7 atau ke-10. Meski
pun mereka gagal membuat jualan dalam 10 cubaaan pertama, mereka tetap
tidak putus asa. Sebab kemungkinan pula dalam cubaan ke-11 atau ke-12
kejayaan mula menjelma.
Sejarah memang membuktikan bahawa hampir semua nama-nama besar dan terkenal
adalah mereka yang mencipta sejarah setelah mencuba ribuan kali. Edison
mencipta lampu setelah berusaha lebih 10,000 kali. Kolonel Sanders cipta
kejayaan dengan resepi ayam gorengnya setelah mencuba 1009 kali. Nelson
Mandela menjadi presiden Afrika Selatan setelah dipenjarakan hampir sesuku
abad. Goodyear mencuba hampir 10 tahun sebelum menemui kaedah untuk
mengkomersilkan getah. Boon Siew, walau pun tidak tahu membaca dan menulis
mampu menjadi jutawan dan memberikan peluang pekerjaan kepada ribuan pekerja
hanya kerana persistensinya.
Kalau telah jelas, dari kisah-kisah di atas, bahawa persistensi
adalah senjata utama menuju kemenangan maka kenapa pula anda perlu
cepat putus asa? Dalam kehidupan ini kegagalan adalah pengalaman
bagi mereka yang persisten tetapi sebaliknya adalah kematian bagi mereka yang
putus asa. Kalau anda seorang pelajar, kini soal lah diri anda sendiri,
adakah anda telah mencuba ribuan kali untuk menyelesaikan satu
soalan matematik atau sains yang mencabar? Ratusan kali? Puluhan
kali? Jawapannya pastinya tidakk... anda cuma mencuba beberapa kali
dan akhirnya putus asa. Kalau inilah cara anda bagaimana mampu anda letakkan
nama anda sebaris dengan mereka yang telah berjaya? Bagaimana pula jika anda
seorang dewasa? Pekerja ? Ibu/Bapa ? sudah pasti cabaran yang dihadapan anda
amat mengerunkan bukan? Air yang menitik secara berterusan itu mampu
menghakis batu. Parang yang diasah secara berterusan itu akan tajam.
Begitulah juga dengan diri manusia. Oleh itu jangan putus asa dalam usaha.
Anda tidak boleh gagal walau atas alasan apa sekalipun. Jadikan setiap
kegagalan itu satu pengajaran untuk memperbaiki diri, untuk
mengubah perancangan, untuk lebih fleksibel dan lambat laun kejayaan itu
milik anda kerana kuasa persistensi yang ada dalam diri.
Sekian.