Selepas membaca artikel tentang Self Improvement di bawah, hati saya terpanggil untuk menulis mesej ini berdasarkan pengalaman saya. Saya pernah mahu menulis buku, cuma saya tidak tahu bagaimana mahu memulakannya.
Saya dilahirkan di Air Hitam Batu 18 Muar Johor. Sebuah kampong yang memang terpencil dan hanya mempunyai kemudahan asas sahaja seperti api dan air. Sebagai seorang perempuan, hidup saya hamper telah ditetapkan oleh masyarakat di kampong saya iaitu selepas saya habis persekolahan saya.tidak kira di tahap mana, perkahwinan akan menyusul. Setiap hari saya cuma membayangkan hidup saya di masa-masa yang akan datang..berkahwin, beranak, menoreh getah dan seterusnya menjadi tua dan melihat anak cucu saya akan melalui kitaran yang sama. 1986, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang saya terima memang mengejutkan di mana saya mendapat keputusan yang cemerlang walaupun hari-hari persekolahan saya hanya dipenuhi dengan sentiasa membantu orangtua saya di kebun-kebun getah untuk mencari sesuap nasi. Kegembiraan yang terpancar di wajah saya tidak bertahan lama apabila ayah saya memberitahu bahawa dia tidak mampu untuk menghantar saya ke menara gading. Semenjak itu walaupun saya tahu hakikatnya bahawa kejayaan saya tidak akan pergi sejauh mana, saya sentiasa menanmkan di minda saya bahawa saya akan menjadi seorang graduan universiti. Bayangan itu sentiasa tertanam dengan jelas di mata dan minda saya. Semua tugas-tugas membantu orangtua saya dilakukan dengan bayangan bahawa kerja-kerja itu adalah hasil daripada usaha seorang graduan. Satu keajaiban telah berlaku di mana tiba-tiba surat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran saya terima daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Betapa gembiranya hati saya hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Saya diminta untuk memilih jurusan yang saya minati. Memandangkan mereka yang rapat dengan saya memilih untuk menjadikan perubatan sebagai bidang mereka, maka saya telah memilih bidang yang sama iaitu perubatan dan bercadang untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia. Bagaimanapun, secara kebetulan nama saya bermula daripada Z, oleh itu saya adalah calon terakhir yang ditemuduga pada hari itu dan kuota untuk calon skim perubatan telah cukup. Wakil daripada pihak JPA mengatakan saya akan dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang Fizik memandangkan keputusan Bahasa Inggeris dan Fizik saya adalah cemerlang. Datang dari kawasan pendalaman dan ke luar negara adalah merupakan keajaiban yang sangat menakjubkan buat saya.persoalan-persoalan bagaimana mahu menyesuaikan diri dengan budaya, cuaca dan bahasa mula menghantui minda saya. Namun hati saya sangat kuat untuk tidak menjadi isteri orang dalam waktu yang singkat membuatkan tawaran ini saya jadikan sebagai satu jalan keluar daripada kemelut kitaran hidup yang diterimapakai oleh generasi keluarga saya. Saya bersama-sama dengan 12 pelajar daripada Malaysia telah menjejakkan kaki di bumi Montreal, Kanada pada tahun 1989. Kami menjadi satu komuniti Melayu kecil yang menimbulkan sedikit kekeliruan kepada masyarakat Montreal di mana mereka janggal melihat perempuan muda yang bertudung. Masalah utama saya iaitu bahasa benar-benar mendatangkan masalah di mana pergaulan yang terhad kepada komuniti kecil ini telah melambatkan proses pembelajaran saya kerana penggunaan bahasa Inggeris hanya dilakukan melalui pendengaran dalam waktu yang terhad sahaja di kuliah-kuliah dan waktu-waktu yang lain adalah penggunaan Bahasa Malaysia sahaja yang saya utamakan. Selepas gagal 2 subjek dalam semester pertama saya, keputusan telah saya buat untuk berpindah ke asrama dan meninggalkan komuniti kecil saya memandangkan komuniti yang tinggal di asrama adalah warga Kanada yang bercakap dengan menggunakan dua bahasa sahaja iaitu Inggeris dan juga French. 1992, saya telah berjaya menamatkan pengajian dan menjejakkan kaki kembali ke bumi bertuah ini, Malaysia. Diwaktu itu kemelut ekonomi sedang melanda negara Malaysia di mana sukar untuk mendapat pekerjaan. Saya membuat keputusan untuk menjadi Supervisor di Polo Ralph Lauren (PRL). Sewaktu saya bekerja di Butik PRL, saya telah dianiayai oleh pengurus butik saya sendiri. Bagaimanapun saya tidak putus asa, saya sentiasa memberitahu kepada diri sendiri bahawa ini adalah pendakian kejayaan di dalam hidup saya. Allah memang sentiasa mendengar doa saya di mana saya telah diterima masuk ke kor Juruterbang oleh Tentera Udara DiRaja Malaysia. Sekali lagi kegembiraan saya tidak bertahan lama di mana sewaktu saya melaporkan diri untuk latihan sebagai juruterbang saya dapati seramai 61 pelatih telah terpilih dan nisbah pelatih adalah 60:1 (lelaki:perempuan). Ya Allah, dugaan apa yang ingin Engkau berikan kepada hambamu ini...Perkara pertama yang saya lakukan adalah menutup sebahagian daripada minda saya di mana saya hanya merasa apa yang ingin saya rasakan dan yang pahit itu hanyalah khayalan saya sahaja. Dan saya perlu menguatkan minda saya di mana saya harus bertanding dengan pelatih lelaki untuk menunjukkan bahawa saya mampu melakukan apa yang mereka mampu lakukan. Kesyukuran saya panjatkan ke Yang Maha Esa, di mana selepas setahun setengan berhempas-pulas di Pusat Latihan Terbang 1 Alor Setar yang terkenal sebagai Neraka Tentera Udara, saya adalah di antara 23 calon yang berjaya menerima badge juruterbang daripada Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Ghani. Sewaktu itu ada dua perkara yang bermain di minda saya iaitu tohmahan bahawa saya telah bersekedudukan dengan jurulatih demi mendapatkan badge juruterbang saya juga ancaman bahawa sepanjang perkhidmatan saya bersama Tentera Udara mereka akan memastikan bahawa kerjaya saya berada di dalam permasalahan. Saya redha dan menguatkan semangat serta minda saya bahawa rezeki, jodoh dan ajal adalah kepunyaanNya dan bukan manusia. Dan sesungguhnya hari-hari yang saya lalui bersama Tentera Udara DiRaja Malaysia bukanlah mudah.. Demi mengalihkan pemikiran saya daripada perkara-perkara negatif ini, saya mengeluarkan perbelanjaan saya sendiri dan menyambung pelajaran di peringkan Sarjana di Universiti Malaya dan seterusnya memulakan pengajian PhD saya di universiti yang sama. Keputusan yang saya buat untuk menyambung pelajaran ke peringkat PhD merupakan satu tindakan yang mengakibatkan kerjaya saya sebagai juruterbang Tentera Udara berakhir dalam tahun 2006. Saya tidak pernah mahu mengalah kerana saya berpendapat bahawa hidup adalah perjuangan..belajarlah kamu sehingga ke liang lahad dan setiap umat Islam adalah wajib untuk menuntut ilmu dan saya percaya ilmu datang dalam pelbagai bentuk cuma dari sudut mana kita melihat setiap perkara yang datang dalam hidup kita, positif atau negatif. Cabaran terbaru yang saya terima pada hari ini, 2009, adalah memasuki kawasan kepunyaan lelaki sebagaimana kata mereka dalam bidang pemantauan maritime di perairan Malaysia di mana pada hari ini kehadiran saya di dalam dunia maritim telah ditolak oleh komuniti yang memanggil diri mereka sebagai pakar di dalam bidang maritime. Kepakaran yang terbina daripada bilik berhawa dingin dan melalui pembacaan laporan dan jurnal yang ditulis terdahulu dan melahirkan teori mereka sendiri berbanding dengan kepakaran yang terbina daripada aktiviti operasi sebenar berhadapan dengan lanun dan aktiviti-aktiviti haram di laut yang berhempas-pulas melakukan penerbangan di dinihari di mana semua masyarakat Malaysia sedang enak diulit mimpi, saya bersama krew saya mengejar dan menjejak kumpulan Abu Sayaf dengan meninggalkan suami dan anak-anak beminggu-minggu lamanya demi kerana keamanan negara tercinta. Saya juga sedang berusaha untuk memartabatkan arena penerbangan di Malaysia agar Malaysia satu hari nanti diangkat oleh dunia sebagai sebuah negara yang diiktiraf kualiti dan produk penerbangannya. Saya tidak akan berputus-asa dan saya sentiasa berdoa agar Allah memakbulkan doa dan niat murni saya demi anak bangsa dan generasi akan datang. HIDUP MALAYSIA! SEKIAN.. From: [email protected] [mailto:[email protected]] On Behalf Of WargaSutera Sent: Tuesday, May 19, 2009 12:55 PM To: [email protected] Subject: [Sutera] Self Improvement - Kecekalan/Persistence Kunci kejayaan Untuk dikongsi bersama. Sumber: tidak diketahui... Persistensi (persistency) adalah suatu sikap tidak mudah mengalah terhadap sebarang halangan, dugaan, cabaran dan masalah dalam merealisasikan sesuatu matlamat. Kejayaan sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Kalau ia sesuatu yang mudah maka pastilah tiada manusia gagal. Sedangkan kajian menunjukkan 95% daripada manusia, selepas usia 55 tahun hanya hidup bergantung kepada duit pencen. Itu bagi yang bekerja kerajaan. Jauh sekali mereka ketika itu mencapai tahap yang boleh dikatakan "financially independent" . Begitu juga dengan pelajar, kajian menunjukkan setiap tahun hanya 13% - 14% pelajar yang mampu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Bagi yang kini berada di institusi pengajian tinggi pula, 80% daripada mereka menamatkan pengajian setakat ijazah kelas kedua atau ketiga. Fenomena di atas jelas menunjukkan ramai manusia gagal mencapai yang terbaik kerana cepat berpuashati dengan pencapaian mereka. Ada sesetengahnya cuba melakukan lebih jauh tetapi akhirnya merasa kecewa hanya setelah beberapa kali sahaja mencuba. Saya teringat baris kata-kata yang pernah saya terbaca dahulu, "When the going gets tough, the tough get going", dan satu lagi, "Quitters never win and winners never quit". Kata-kata ini telah sekian lama saya sematkan dalam hati saya dan dijadikan azimat bagi meraih kekuatan setiap kali berhadapan dengan cabaran atau ketika berada diambang kegagalan. Dengan sikap persistensi yang tinggi sesiapa sahaja boleh berjaya. Hanya faktor masa sahaja menjadi penentu kejayaan itu. Cuba kita lihat bagaimana persistennya Nabi Muhammad s.a.w dalam mengembangkan agama Allah dizaman jahiliyah dahulu hingga terbentuknya sebuah negara Islam yang digeruni lawan dan dihormati. Tidak seperti rasul-rasul sebelumnya, Nabi Muhammad s.a.w mengembangkan Islam tanpa bergantung kepada mukjizat yang mencarik adat selain daripada Al-Quran. Baginda memulakan syiarnya ketika berusia 40 tahun setelah menerima wahyu pertama. Hanya kerana mahu membawa masyarakatnya beriman kepada Allah, baginda telah diejek, dicemuh, dilontar dengan batu. Pengikut-pengikutny a diseksa. Keluarga mereka didera dan dihina. Semuanya ini sedikitpun tidak menjejaskan kemahuan baginda untuk melihat Islam tegak dibumi Allah ini. 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah adalah satu masa yang bukan pendek. Sikap persistensi sebeginilah yang perlu ada sekiranya seseorang itu mahukan kejayaan. Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabatnya membuktikan bahawa kebolehan seorang manusia cukup luar biasa dan mampu menggoncang dunia selagi tidak lari dari matlamat perjuangan, rela berkorban dan sanggup melakukan apa sahaja untuk berjaya. Kenapa mesti berjuang 23 tahun sedangkan Allah boleh sahaja memberikan kemenangan mudah kepada rasulnya? Sebabnya untuk manusia selepas itu menjadikan kehidupan dan perjuangan itu suatu tauladan. Salah satu darinya ialah sikap gigih dan tidak putus asa dari mengharap kemenangan dari Allah. Seorang jurujual berjaya cukup faham dengan teori persistensi ini. Fikiran mereka telah diprogramkan bahawa untuk melakukan satu jualan yang berjaya mereka perlu menemui 10 orang pelanggan berpotensi. Dengan fahaman matematik yang cukup mudah ini mereka berusaha tanpa kenal erti jemu. Setelah satu kegagalan mereka merasa lebih gembira kerana mereka cuma tinggal 9 orang lagi sebelum mendapat kejayaan. Mereka terus berusaha dan kejayaan jualan pertama itu mungkin terletak pada cubaan yang ke-5, ke-7 atau ke-10. Meski pun mereka gagal membuat jualan dalam 10 cubaaan pertama, mereka tetap tidak putus asa. Sebab kemungkinan pula dalam cubaan ke-11 atau ke-12 kejayaan mula menjelma. Sejarah memang membuktikan bahawa hampir semua nama-nama besar dan terkenal adalah mereka yang mencipta sejarah setelah mencuba ribuan kali. Edison mencipta lampu setelah berusaha lebih 10,000 kali. Kolonel Sanders cipta kejayaan dengan resepi ayam gorengnya setelah mencuba 1009 kali. Nelson Mandela menjadi presiden Afrika Selatan setelah dipenjarakan hampir sesuku abad. Goodyear mencuba hampir 10 tahun sebelum menemui kaedah untuk mengkomersilkan getah. Boon Siew, walau pun tidak tahu membaca dan menulis mampu menjadi jutawan dan memberikan peluang pekerjaan kepada ribuan pekerja hanya kerana persistensinya. Kalau telah jelas, dari kisah-kisah di atas, bahawa persistensi adalah senjata utama menuju kemenangan maka kenapa pula anda perlu cepat putus asa? Dalam kehidupan ini kegagalan adalah pengalaman bagi mereka yang persisten tetapi sebaliknya adalah kematian bagi mereka yang putus asa. Kalau anda seorang pelajar, kini soal lah diri anda sendiri, adakah anda telah mencuba ribuan kali untuk menyelesaikan satu soalan matematik atau sains yang mencabar? Ratusan kali? Puluhan kali? Jawapannya pastinya tidakk... anda cuma mencuba beberapa kali dan akhirnya putus asa. Kalau inilah cara anda bagaimana mampu anda letakkan nama anda sebaris dengan mereka yang telah berjaya? Bagaimana pula jika anda seorang dewasa? Pekerja ? Ibu/Bapa ? sudah pasti cabaran yang dihadapan anda amat mengerunkan bukan? Air yang menitik secara berterusan itu mampu menghakis batu. Parang yang diasah secara berterusan itu akan tajam. Begitulah juga dengan diri manusia. Oleh itu jangan putus asa dalam usaha. Anda tidak boleh gagal walau atas alasan apa sekalipun. Jadikan setiap kegagalan itu satu pengajaran untuk memperbaiki diri, untuk mengubah perancangan, untuk lebih fleksibel dan lambat laun kejayaan itu milik anda kerana kuasa persistensi yang ada dalam diri. Sekian.
<<image001.jpg>>
<<image002.jpg>>
