Kita memerlukan perjanjian apabila membuat sesuatu perkara yang melibatkan dua 
belah pihak bagi memastikan bahawa ikatan janji tersebut dipenuhi dan diikuti 
sewajarnya bagi mengelakkan sebarang kerugian atau masalah pada masa akan 
datang. Dalam dunia hari ini, perjanjian kebiasaannya dijadikan sebagai suatu 
kontrak. Dengan ini, perjanjian tersebut sah di sisi undang-undang.

Jika anda seorang ahli perniagaan, sesuatu perjanjian sering kali dimeterai 
apabila anda telah membuat sebarang persetujuan atau ikatan jaringan perniagaan 
dengan syarikat atau individu tertentu. Secara tidak langsung dengan adanya 
perjanjian ini, anda telah menjaga kepentingan syarikat dan hak peribadi. Dalam 
situasi lain, kita memerlukan perjanjian apabila berurusan tentang 
perkara-perkara seperti yang di bawah:

i. Menawarkan sebarang perkhidmatan yang berbayar

ii. Memberikan perkhidmatan yang berjadual mengikut tempoh

iii. Menjual barangan atau produk secara kontrak atau bayaran ansuran

iv. Menawarkan pinjaman wang, peralatan dan perkhidmatan

v. Membuat persetujuan secara bersama atas kata sepakat

vi. Membuat garis panduan secara prosedur mengikut tahap yang diingini

vii. Memberikan syarat khas tertentu kepada individu/organisasi


1.4 Mengapakah perjanjian penting?

Secara dasar, perjanjian tidaklah perlu untuk semua urusan yang dilaksanakan. 
Perjanjian terhasil apabila melibatkan perkara-perkara yang penting dan melalui 
tempoh pelaksanaan yang melibatkan perihal kewangan ataupun yang mendatangkan 
kerugian.

Namun begitu, perjanjian juga berlaku apabila melibatkan perkara-perkara yang 
berikut:

i. Melibatkan aset-aset yang bernilai untuk diguna pakai oleh pihak lain

ii. Tempoh pembayaran nilai pinjaman semula

iii. Penggunaan perkhidmatan dan servis tertentu

iv. Ikatan atau kontrak yang telah disetujui bersama

Keperluan perjanjian telah pun dinilai sejak zaman dahulu lagi berikutan 
daripada sejarah atau kejadian-kejadian yang berlaku untuk dijadikan teladan 
kepada generasi seterusnya. Oleh hal yang demikian, sesetengah agenda amatlah 
memerlukan perjanjian bagi mengelakkan sebarang penyelewengan atau penipuan 
berlaku. Perjanjian yang didokumentasikan mudah untuk dijadikan bukti, rujukan 
dan selanjutnya memudahkan jenis hukuman yang bakal dijatuhkan kepada pihak 
yang memungkiri perjanjian itu.

Atas faktor tersebut, kita memerlukan perjanjian. Ramai antara ahli masyarakat 
hari ini memandang remeh akan perkara ini. Selalunya setelah berlakunya sesuatu 
kejadian itu, barulah disusuli perjanjian bagi memulakan sesuatu yang baharu. 
Bagi seorang yang bijak dan berpandangan jauh, menjadi suatu kemestian bagi 
kita menilai atau menjangkakan perkara-perkara yang bakal berlaku. Dengan 
adanya pemikiran yang jauh ke hadapan, penyediaan sesuatu batas-batas 
perjanjian harus dilaksanakan.


Artikel di atas dipetik daripada buku Koleksi Contoh Dokumen Perjanjian 
Berserta Panduan Asas Membina Rangka Dokumen Perjanjian. Harga senaskhah buku 
ialah RM20. Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh didapati dengan melayari 
laman web kami di www.books.perintis.com.my atau hubungi Cik Nor di talian 
03-9019 5303. 

Kirim email ke