Sekolah asingkan pelajar perempuan dan lelaki

SEREMBAN 9 Jan. – Sebuah sekolah menengah di Taman Seremban Jaya di sini 
mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan ibu bapa kerana mengasingkan 
pelajar perempuan dan lelaki dalam semua aktiviti termasuk ketika membeli 
makanan di kantin.

Perkara itu akhirnya dibawa ke pengetahuan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk 
Seri Mohamad Hasan yang meminta Jabatan Pelajaran Negeri segera menyiasat 
dakwaan itu.

“Kita tidak mahu ada sekolah buat dasar baru. Dasar kita ialah sekolah 
bercampur, kalau nak asing-asingkan murid baik tidak payah buat sekolah 
campur,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco hari ini.

Katanya, amalan mengasingkan pelajar bukan merupakan satu amalan biasa di 
Negeri Sembilan dan sekolah berkenaan telah membuat satu dasar baru yang 
bertentangan dengan dasar pendidikan sedia ada.

“Saya tidak mahu sentuh soal boleh atau tidak, cuma kalau sebuah sekolah sudah 
buat dasar baru, bayangkan kalau sekolah-sekolah lain juga buat dasar 
masing-masing. Sebelum keadaan menjadi tidak terkawal... buatlah tindakan 
sekarang,” katanya.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0110&pub=utusan_malaysia&sec=pendidikan&pg=pe_02.htm&arc=hive


MB arah sekolah asing pelajar disiasat
Oleh Ahmad Naim Tahir

SEREMBAN: Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) 
menyiasat sebuah sekolah menengah di Senawang dekat sini yang dilapor 
mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan mengikut kelas.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perkara itu turut dibincangkan 
dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri, semalam, yang memutuskan siasatan 
terperinci perlu dilakukan bagi menentukan sama ada peraturan itu selari dengan 
dasar Kementerian Pelajaran.

"Kita mahu tahu kenapa peraturan demikian dibuat dan adakah ia bertentangan 
dengan dasar Kementerian Pelajaran. Saya tidak ingin berdebat sama ada 
peraturan itu betul atau salah, tetapi saya hanya mahu tahu adakah ia selari 
dengan dasar kementerian," katanya di sini, semalam.

Mohamad berkata, beliau sudah meminta pengarah JPNS menyerahkan laporan lengkap 
mengenai perkara itu kepada kerajaan negeri secepat mungkin.

Tinjauan Berita Harian di Sekolah Menengah Kebangsaaan Seremban Jaya (SMKSJ), 
pagi semalam, mendapati peraturan itu yang dilapor dilaksanakan sejak hari 
pertama sesi persekolahan 2008, Khamis lalu, hanya membabitkan proses 
pembelajaran dalam kelas.

Beberapa pelajar yang ditemui berkata, peraturan itu tidak tertakluk di luar 
kelas, termasuk waktu rehat dan mereka tidak mempunyai masalah mematuhinya 
walaupun tidak dimaklumkan sebab ia dilaksanakan.

Ibu bapa yang ditemui pula berkata, mereka juga tidak dimaklumkan mengenai 
peraturan itu dan menyuarakan kebimbangan berhubung pelaksanaannya yang dilihat 
tidak praktikal kerana sudah wujud sekolah khas untuk pelajar lelaki dan 
perempuan di negara ini.

Seorang ibu yang enggan namanya disiarkan, berkata beliau yang mempunyai 
seorang anak lelaki di Tingkat Dua di sekolah itu bimbang jika hanya pelajar 
lelaki ditempatkan dalam satu kelas, ia akan menimbulkan masalah antara mereka.

"Jika ada pelajar perempuan, pelajar lelaki mungkin akan lebih beradab. Apa 
yang dikesalkan ialah pihak sekolah tidak memaklumkan mengenai peraturan baru 
ini kepada ibu bapa. Saya hanya tahu mengenainya selepas dimaklumkan anak," 
katanya.

Pengurusan sekolah itu ketika ditemui enggan mengulas, manakala pengetuanya 
pula sedang mengerjakan ibadat haji di Makkah dan dijadual pulang ke tanah air 
minggu depan.

Sementara itu, Pengarah JPNS, Abdullah Mohammad, ketika dihubungi berkata 
pihaknya tidak dimaklumkan oleh pengurusan sekolah terbabit mengenai peraturan 
itu dan sudah mengarahkan ia ditarik balik.

Sumber:
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Nasional/20080109224842/Article/index_html

Saya ingin bertanya..

1) Adakah ia BERTENTANGAN dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu 
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan 
lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan 
yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani 
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi 
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan 
mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan 
kemakmuran masyarakat dan negara?

2) Adakah ia BERTENTANGAN dengan Rukun Negara yang ke-5 iaitu Kesopanan dan 
Kesusilaan?

3) Adakah ia BERTENTANGAN dengan 10 Prinsip Islam Hadhari antaranya ialah (1) 
Keimanan dan Ketaqwaan kepada Allah dan (8) Keutuhan Budaya dan Moral?

4) Adakah ia BERTENTANGAN dengan 6 Teras Strategik Pelan Induk Pembangunan 
Pendidikan (PIPP) 2006-2010, antaranya ialah:

-Membina Negara Bangsa: KPM berhasrat untuk membangunkan warganegara dari awal 
persekolahan dengan ciri-ciri glokal, patriotik dan cintakan negara serta 
menyanjung dan menjunjung warisan budaya dan kesenian bangsa. Hasrat membina 
Negara Bangsa ini akan dicapai dengan memperkasakan Bahasa Melayu, meningkatkan 
disiplin pelajar, menggiatkan Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan 
(RIMUP) serta menggiatkan aktiviti kokurikulum dan sukan bagi membina jati diri 
serta menerapkan budi bahasa dan adab di kalangan pelajar.

-Membangunkan Modal Insan: KPM akan memberi tumpuan kepada sistem nilai, aspek 
disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri pelajar. Teras ini juga berhasrat 
melahirkan pelajar yang kompeten dalam Sains dan Teknologi, inovatif dan 
kreatif serta kebolehpasaran. KPM akan menyediakan sistem pentaksiran dan 
penilaian holistik, membina disiplin pelajar serta memberi penekanan kepada 
kebersihan, kesihatan dan keselamatan.

Jika jawapannya TIDAK BERTENTANGAN, jadi.. APA MASALAHNYA?

Nazri Samsudin,
www.mendidik.blogspot.com


      
____________________________________________________________________________________
Be a better friend, newshound, and
know-it-all with Yahoo! Mobile.  Try it now.  
http://mobile.yahoo.com/;_ylt=Ahu06i62sR8HDtDypao8Wcj9tAcJ

Reply via email to