Salam~

Syukur Alhamdulillah, semalam saya berkesempatan berbuka puasa dengan ayahnda 
saya dikampong. Bukan main ceria wajahnya dan nampak segar dalam usia 60an. 
Hidangan sederhana saja, mee goreng dan bandung cincau. Buah mempelam raja dan 
jambu batu (seedless) asam sebagai aksesori tambahan. Tak de kuih muih. Bubur 
lambuk masjid juga ada, yang ni memang tiap-tiap hari abah ambil dimasjid. 
Prinsip melayu, rezeki jangan ditolak, kata abah.

Selepas solat maghrib, kami berbual. Abah tiba-tiba memulakan perbualan dengan 
isu 16 Sept Pakatan Rakyat. Bukan dia tak tahu anak dia yang ini memang suka 
sembang bab politik. Mungkin dah lama dia tak dengar leteran politik saya. Tak 
pe lah, saya pun layan dia bersembang. Sampai ke point penutup, saya katakan 
bahawa politik yang berlaku hari ini tidak akan langsung menguntungkan Islam. 
Samada BN terus memerintah atau Pakatan Rakyat (DSAI). Yang untung, Amerika 
Syarikat dan barat! Kerana sekurang-kurangnya, kita masih tersepit dengan 
agenda politik kufur mereka yakni demokrasi, kapitalisme, liberalisme dan 
segala isme lahiran kepala otak mereka.

Bayangkan, betapa lama umat ini terpecah belah melalui penerapan sistem politik 
barat. Umat Islam disini, bagai hilang pedoman tatkala mendukung agenda politik 
masing-masing. Tak kalah, ada pula serpihan umat ini yang tidak mahu langsung 
berpolitik, sebahagiannya terus mengisytihar, "Mujur saya bukan ahli politik!" 
Konon semacam bangga menyebut demikian, padahal, politik merupakan tuntutan 
syarak, dalilnya;

"Barangsiapa yang melihat kemungkaran dari kalangan kamu, hendaklah ia 
mencegahnya dengan tangannya, jika ia tidak mampu maka (cegahlah) dengan 
lidahnya (perkataan), jika ia tidak mampu (juga), maka (cegahlah) dengan 
hatinya (membenci), demikian itulah selemah-lemah iman" [HR Muslim]

Begitu pula sebuah hadis dengan maksud,

"Barangsiapa yang tidak memperhatikan (mengambil peduli) tentang urusan umat 
Islam, maka ia bukan dari kalangan mereka" [HR Hakim]

Dan beberapa hadis yang lain sebagai pengkhususan kepada beberapa keumuman ayat 
Al-Quran berkaitan penerapan hukum Allah diatas mukabumi ini. Ini 
tugas politik. Yang membezakannya, politik Islam memperjuangkan penerapan 
syariah sedangkan politik barat sibuk dengan maslahat diri seperti takhta 
(kuasa), harta, wanita etc. Ada juga pihak yang berpolitik mencari maslahat 
parti bukan selainnya, dan pelbagai aksi politik yang mempunyai agenda selain 
penerapan syariah diatas mukabumi ini.

Berbalik kepada perbualan kami, saya katakan kepada abah (bekas ketua cawangan 
sebuah parti politik), agenda yang penting kita dukung dalam politik adalah 
Islam, bukan selainnya. Jika agenda lain yang dipentingkan, maka inilah 
kebinasaan yang kita tempa. Selagi kita tak mendukung aspirasi penegakkan 
syariah, selagi itulah barat terus menjajah pemikiran dan aktiviti politik 
kita. Bayangkan racun barat yang telah meresap masuk ke tubuh kita seperti 
assobiyah, maslahat parti, permusuhan dan lain-lain, menyebabkan kita dirundung 
polemik perjuangan yang tak berpenghujung. Setiap kali PRU tiba, itulah masa 
kemuncak barat menguji kita, apakah kita masih taat dengan budaya politik 
mereka atau sebaliknya. Jika kita masih berpecah, mereka pasti gembira.

Saya teringat satu fenomena yang berlaku sekarang tatkala abah membuahkannya. 
Ada semacam satu seruan agar setiap melayu memperjuangkan kemelayuan atas 
sentimen perkauman. Kata abah, "Kita sekarang tak peduli, PAS atau UMNO, 
asalkan sekarang melayu terus memerintah.." Saya tersenyum dan terus mencelah. 
Ini 'bola tanggung' bagi saya. Saya terus 'melibas'. "Inilah masalahnya abah. 
Dalam keadaan tersepit, melayu (bangsa) pula yang dijadikan agenda. Ini bahaya 
dan terus menyempitkan lagi keadaan! Kita tak mahu lagi duduk dalam kepompong 
politik barat. Assobiyah tu mainan barat! Kita kena keluar dan melaksanakan 
perjuangan politik untuk Islam. Biarpun kita ni berbangsa melayu, tetapi agenda 
perjuangan kita adalah Islam sebab kita orang Islam yang berbangsa melayu. Biar 
melayu yang tumpang Islam, jangan Islam pulak yang tumpang melayu.."

Saya rasa mesej saya jelas. Harapnya abah mengerti. Dia mengangguk aje. 
Perjuangan selain Islam memang mengundang kemungkaran. Hanya perjuangan 
mendaulatkan syariah yang wajib kita laksanakan kerana dalam syariah pasti 
terdapat maslahat buat kita. Jika ia memuliakan kita, maka itu adalah kerana 
kita seorang muslim, bukan kita sebagai orang melayu. Jika kita dihancurkan, 
biarlah kita terkubur sebagai seorang pejuang Islam. Memang berbaloi! Negeri 
akhirat itu lebih baik dan kekal..

Wassalam



Kirim email ke