Saya pun tak tahulah kenapa kenduri kahwin sekarang ini melebih-lebih sangat. 
Tak macam di Terengganu dan Kelantan , cukup ringkas dan “simple” , makanannya 
sedap dan berselera. Tak macam kita di N.Sembilan dan lain-lain negeri yang 
kenduri kahwinnya dipekakkan dengan suara Deejay dan muzik.

Khemahnya pula cukup canggih, macam-macam style dan ribbon. Bunga telur pun 
pelbagai bentuk , telur harga 30 sen , bunga telur RM 3. Yang bunga dibuang 
selepas telur dimakan, tak ke membazir. Kad kahwin pun lagi satu , kad kahwin 
berlapis-lapis macam-macam style.

Makanannya pula berwarna-warni tetapi kekadang rasanya taklah seberapa sangat. 
Selera macam saya ni suka makanan yang simple. Kalau kenduri kahwin yang masak 
sendiri , masak gotong royong , masak lemak cili api , sambal belacan , ada 
ulam dan nasi putih adalah lebih berselera dari masakan yang berwarna warni.

Malah semasa saya menghadiri kenduri kahwin anak buah Menter Besar Kelantan di 
rumah MB sendiri pun cukup simple. Tak ada dipasang khemah. Tiada muzik, tiada 
Deejay. Orang ramai yang datang boleh berbual dengan tenang, bertanya khabar. 
Tapi di Negeri Sembilan dan negeri pantai barat ni kalau pergi kenduri kahwin 
kena cakap kuat-kuat. APA KHABAR ? Tak dengar juga. AAPAA KHAABAAR ? Baru 
dengar.

Masa kenduri kahwin nilah kita nak jumpa saudara mara yang jauh. Tapi kalau dah 
bunyi muzik dan Deejaynya mengada-ngada macamana nak beramah mesra dengan 
tetamu dan sanak saudara.

Kenduri kahwin ahli PAS di Negeri Sembilan pun lebih hebat dari kenduri kahwin 
anak Menteri Besar Kelantan. Kata nak ikut contoh ulamak tapi bila bab kenduri 
kahwin tak nak ikut contoh Tok Guru dah tunjukkan.

Terbaru Datuk Nooh Gadut pun dah pening kepala perangai orang Melayu ni yang 
buat kenduri kahwin yang melampau-lampau.

Senang saja Datuk , suruh orang Johor dan lain-lain negeri ikut saja contoh MB 
Kelantan. Dengan ini akan memudahkan remaja serta muda mudi yang bermasalah 
untuk berkahwin daripada mereka bergaul bebas tanpa batasan.

*******************************
Jangan dikomersialkan kenduri kahwin
Utusan Malaysia 24 Dis 08
JOHOR BAHRU 23 Dis. - Majlis perkahwinan tidak sewajarnya dikomersialkan 
seolah-olah menjadi satu perniagaan besar-besaran yang mengutamakan keuntungan.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot berkata, trend majlis 
perkahwinan wajar diperhalusi supaya tidak lari daripada matlamat sebenar 
diadakan majlis itu.

Katanya, matlamat diadakan majlis perkahwinan adalah mengumumkan atau 
memberitahu orang ramai tentang hubungan perkahwinan sah antara pasangan 
pengantin bagi mengelakkan fitnah.

Beliau berkata, kenduri diadakan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah dan 
untuk berterima kasih kepada saudara mara serta rakan-rakan yang mendoakan 
keselamatan dan kesejahteraan perkahwinan itu.

Katanya, majlis perkahwinan secara besar-besaran dibolehkan sekiranya mempunyai 
kemampuan dan tidak berniat untuk bermegah.

"Bagaimanapun, dalam apa pun perkara, yang terbaik adalah melakukannya dengan 
penuh kesederhanaan.

"Berjimat cermat, perlu sederhana, jangan sampai jadi bakhil dan jangan pula 
boros berlebihan sehingga membazir," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_12.htm




Reply via email to