*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
  Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
ASSALAMUALAIKUM Sahabatku saudara/i yang dikasihi, disayang, diingati dan 
dirahmati Allah Ta'ala sentiasa.

Izinkan saya membicarakan bab IKHLAS, di dalam untuk memenafaatkan setiap 
ilmu dan amalan kita diterima dan mendapat keredhoan daripada-Nya.

InsyaAllah.......Amin!



IKHLAS

Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata : Telah bersabda Rasulullah SAW : 
"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kamu, juga tidak kepada 
harta kamu, akan tetapi Dia melihat kepada hati dan amal kamu."

[HSR. Muslim 8/11]


Takhrij Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh :

*       Muslim, kitab Al-Birr was Shilah wal Adab, bab Tahrim   Dhulmil Muslim wa 
Khadzlihi wa Ihtiqarihi wa Damihi wa    'Irdhihi wa Malihi 8/11 atau no. 2564 
(34).

*       Ibnu Majah kitab Az-Zuhd, bab Al-Qana'ah no. 4143.

*       Ahmad dalam Musnadnya 2/539.

*       Baihaqi dalam kitabnya Al-Asma' was Shifat 2/233-234, bab       Ma Ja'a fin 
Nadhar.

*       Abu Nu'aim dalam kitabnya Hilyatul Auliya', 4/98.

Darjat Hadis ini Sahih.


Hadis ini diriwayatkan dari beberapa jalan dari Katsir bin Hisyam, telah 
menceritakan kepada kami Ja'far bin Barqam dari Yazid bin Al-Asham dari Abu 
Hurairah r.a.

Hadis ini ada mutabi'nya. Mutabi' ialah yang mengiringi atau yang sepadan. 
Maksudnya satu Hadis yang sanadnya menguatkan sanad yang lain dari Hadis itu 
juga. (Ilmu Musthalah Hadis, A. Qadir Hasan hal. 301-302)

Imam Ahmad berkata : "Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Bakr 
Al-Barani, telah menceritakan kepada kami Ja'far, yakni Ja'far bin Barqan - 
dengan sanad ini." Lihat Musnad Ahmad 2/285.

Muslim meriwayatkan dari jalan lain dari Abu Hurairah dari Rasulullah SAW 
dengan lafadh "Ajsaa dikum" dan diakhirnya ada lafadh "Wash sharabi'u 
sobi'ihi ila sodrihi", dan beliau mengisyaratkan ke dadanya. Dalam riwayat 
Ahmad, Ibnu Majah dan Baihaqi ada tambahan "Innama".

Jadi lengkapnya riwayat Hadis ini dengan tambahannya sebagai berikut :

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh kamu dan tidak juga kepada 
rupa dan harta kamu. Akan tetapi sesungguhnya Dia hanyalah melihat kepada 
hati kamu (Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan jari-jarinya ke dadanya) dan 
Dia melihat pula kepada amal kamu."

Keterangan :

Hadis ini dengan lafadh "Tetapi sesungguhnya Allah hanyalah melihat kepada 
hati dan amal kamu". Kata "Kullu bikum wa a'malikum" sangat penting kerana 
inilah yang akan dinilai oleh Allah nanti pada hari Kiamat. Kerana itu Imam 
Baihaqi (wafat th. 548H) setelah membawa Hadis di atas, beliau berkomentar : 
"Hadis inilah yang sahih dan terpelihara yang dihafal oleh "Huffadh" (Ulama' 
ahli Hadis). Adapun riwayat yang biasa diucapkan oleh sebahagian ahli ilmu, 
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan amal kamu, tetapi melihat 
kepada hati kamu." Riwayat ini tidak ada satu pun yang sahih yang sampai 
kepada kami, juga menyalahi Hadis yang sahih. Riwayat yang sudah sahih 
itulah yang menjadi pegangan kita dan seluruh kaum Muslimin, terutama (yang 
harus berpegang dengan riwayat yang sahih ini) adalah Ulama' yang diikuti, 
yang menjadi anutan (bagi umat). Wabillahit taufiq."

Di dalam kitab Riyadlus Shalihin no. 8 tahqiq Syaikh Muhammad Nashiruddin 
Al-Abani dibawakan Hadis ini tanpa tambahan "a'malikum" iaitu : 
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh kamu dan tidak juga kepada 
rupa kalian, tetapi Dia melihat kepada hati kalian. (HSR. Muslim)

Kemudian Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Abani berkomentar : "Da;am riwayat 
Muslim dan lainnya ada tambahan "wa' malakum", dan tambahan ini sangat 
penting, kerana kebanyakan kaum Muslimin memahami Hadis di atas tanpa ada 
tambahan ini dengan pemahaman yang salah. Apabila anda menyuruh mereka 
dengan perintah syariat yang bijaksana seperti diperintahkan untuk 
memelihara atau memanjangkan janggut dan tidak boleh menyerupai orang kafir 
dan selain it dari beban syariat, mereka akan menjawab; "Yang penting adalah 
hati!" Mereka berdalil dengan Hadis di atas, mereka tidak mengetahui 
tambahan yang sahih ini yang menunjukkan bahawa Allah yang Maha Mulia dan 
Maha Tinggi melihat juga kepada amal mereka. Bila amal baik (sesuai dengan 
Sunnah Rasulullah SAW) maka Allah akan menerimanya dan jika tidak baik, maka 
Allah akan menolaknya sebagaimana terdapat dalam nas-nas yang sahih, seperti 
sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud :

"Barangsiapa yang mengadakan sesuatu yang baru dalam urusan (agama) kami ini 
yang bukan darinya, maka amal itu tertolak."

[HRS. Bukhari dan Muslim]


Sesungguhnya tidak mungkin dapat dibayangkan baiknya hati kecuali dengan 
baiknya amal melainkan dengan baiknya hati.

Kaitan Hadis di atas dengan masalah ikhlas sangat erat kerana berkaitan 
dengan masalah hati dan amal, iaitu hati yang ikhlas dan amal yang sesuai 
dengan contoh Rasulullah SAW. Oleh kerana itu Hadis ini dimasukkan oleh Imam 
Abdul 'Adzim bin AlQawi Al-Mundziri (wafat th. 656H) dalam kitabnya 
At-Targhib wat Tarhib 1/29 no.9 atau dalam Shahih At-Targhib wat Tarhib 
1/80-81 Hadis no. 13, kitab Ikhlas, bab At-Targhib fil Ikhlash was Shidq wan 
Niyat as-Shalihah. Hadis ini juga dimuat oleh Imam Abu Zakaria Yahya bin 
Syaraf An-Nawawi Ad-Dimasyqi (wafat th. 676H) dalam kitabnya Riyadlus 
Shalihin no. 8, bab Al-Ikhlas wa Ihdlarin Niyat fi Jami'il A'mal wal Aqwal 
wal Ahwal Bazirah wal Khafiyah.


- Makna Hadis -

"Allah tidak melihat pada tubuh kamu dan tidak pula pada rupa kamu."

Ertinya Allah tidak akan memberi ganjaran terhadap bentuk tubuh atau rupa 
manusia atau banyaknya harta, kerana zat manusia (tubuh manusia) tidak 
dibebankan hukum, sedangkan yang dibebankan hukum adalah  perbuatan yang 
berkaitan dengan diri manusia. Demikian pula sifat dan bentuk yang di luar 
kemampuan manusia seperti rupa, anggun, gagah, hitam, putih, tinggi, pendek 
dan lain-lain. Allah tidak melihat juga kepada banyaknya harta atau 
sedikitnya, kaya atau miskin dan lainnya.


"Akan tetapi Allah melihat kepada hati dan amal kamu."

Ikhlas adalah amal hati dan amal hati sangat penting. Syaikhul Islam Ibnu 
Taimiyah berkata : "Ini adalah kalimat yang ringkas tentang amal hati dan 
amal hati merupakan dasar keImanan dan sebagai tonggak agama seperti 
mencintai Allah dan Rasul-Nya, tawaqqal kepada Allah, mengikhlaskan ibadah 
kerana-Nya, bersyukur kepada-Nya, sabar terhadap keputusan-Nya, takut dan 
berharap kepada-Nya. Amal ini secara keseluruhan wajib bagi setiap makhluk 
menurut kesepakatan para Ulama' (Iman). [Majmu' Fatawa 10/5]

Kata Ibnul Qayyim : "Amal hati adalah pokok, sedangkan amal badan itu 
penyerta dan penyempurna. Sesungguhnya niat itu laksana ruh, sedangkan amal 
itu laksana badan, kalau ruh itu meninggalkan badan maka ia akan mati. Maka 
mempelajari hukum-hukum hati itu lebih penting daripada mempelajari hukum 
perbuatan badan." (Badai'ul Fawaid 3/244)

Lebih lanjut beliau menambahkan : "Barangsiapa memperhatikan syariat dari 
sumbernya, ia akan tahu tentang terkaitnya amal badan terhadap amal hati. 
Amal badan tidak akan ada menafaatnya tanpa ada amal hati. Amal hati lebih 
wajib bagi setiap hamba daripada amal badan. Bukankah perbedaan orang Mukmin 
dan orang munafiq tergantung pada hatinya? Oleh kerananya ibadah hati lebih 
agung daripada ibadah badan, bahkan lebih banyak dan lebih terusan dan lebih 
wajib pada setiap waktu.

Amal hati sangat penting dan sangat tinggi nilainya di sisi Allah. Dan yang 
terpenting dari amalan hati adalah keikhlasan kepada Allah Ta'ala.

Rasulullah SAW bersabda, bermaksud :

"Ingatlah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal daging. Apabila 
ia baik, maka baik pula seluruh tubuhnya, dan apabila ia rosak, maka rosak 
pula seluruh tubuhnya. Ketahuilah, segumpal daging itu ialah hati."

[HSR. Bukhari dan Muslim]


Ikhlas merupakan salah satu amal hati. Bahkan ikhlas berada di barisan 
pemula dari amal-amal hati. Sebab diterimanya seluruh amal tergantung dari 
niat yang ikhlas kerana Allah dan diterimanya harus terpenuhi dua syarat, 
iaitu ikhlas dan sesuai dengan contoh Rasulullah SAW.


- Perintah Untuk Ikhlas Dan Menjauhi Riya' Dan Syirik -

IKHLAS merupakan hakikat "Dien" dan kunci dakwah para Rasul, sebagaimana 
firman Allah, yang bermaksud :

"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan 
memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus. Dan 
supaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat. Yang demikian itulah agama 
yang lurus."

[Al-Bayinah : 5]


"Daging unta (kurban) dan darahnya tidak akan sampai kepada Allah, tetapi 
yang akan sampai kepada-Nya adalah ketaqwaan kamu."

[Al-Hajj : 37]


"Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas 
menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan 
kebaikan......."

[An-Nisa' : 125]


"Katakanlah : "Jika kamu menyembunyikan apa yang ada di dalam hatimu atau 
menampakkannya, pasti Allah mengetahui."

[Ali Imran : 29]


"Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu kitab (Al-Quran) dengan (membawa) 
kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya. 
Ingatlah hanya milik Allah agama yang bersih (dari syirik)."

[Az-Zumar : 2-3]


"Katakanlah, hanya Allah saja yang aku sembah dengan memurnikan ketaatan  
kepada-Nya dalam menjalankan agamaku."

[Az-Zumar : 14]


Telah bersabda Rasulullah SAW, bermaksud :

"Sesungguhnya amal-amal itu (harus) dengan niat dan sesungguhnya setiap 
(amal) seseorang itu tergantung niatnya......."

[HRS. Bukhari dan Muslim]


Dari Abu Hurairah, ia berkata : "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda : 
"Allah berfirman : "Aku tidak perlu kepada semua sekutu. Barangsiapa beramal 
mempersekutukan-Ku dengan yang lain, maka Aku biarkan dia bersama 
sekutunya."

[HRS. Muslim 2985, Ibnu Majah 4202, Ahmad 2/301, 435]


Dari Abu Hurairah, ia berkata : "Telah bersabda Rasulullah SAW : 
"Barangsiapa belajar ilmu yang seharusnya ia mengharapkan wajah Allah 'Azza 
wa Jalla, kemudian ia belajar untuk mendapatkan sesuatu dari (harta) dunia, 
maka ia tidak akan mencium bauu Syurga pada hari Kiamat."

[HRS. Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad]


Hadis-hadis yang semisal ini banyak sekali.

Yang selayaknya disebutkan juga dalam perbahasan ini ialah bahawa manakala 
ikhlas telah tertanam dalam pengamalan suatu ketaatan, sedangkan ketaatan 
itu murni hanya dalam rangka mencari wajah Allah saja, maka kita dapat 
menyaksikan bahawa pasti Allah akan memberi balasan yang besar terhadap 
orang-orang yang ikhlas meskipun ketaatannya sedikit. Sebagaimana kata 
Abdullah Ibnul Mubarak : "Betapa banyak amal kecil (sedikit/sederhana) 
menjadi besar dengan sebab niatnya (keikhlasannya) dan betapa banyak amal 
yang besar (banyak) menjadi kecil nilainya dengan sebab niat (kerana tidak 
ikhlas).

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata : "Satu bentuk amal yang dilakukan 
manusia dengan dasar keikhlasan dan ibadah yang sempurna kepada Allah, maka 
Allah akan mengampuni dengan keikhlasan itu dosa-dosa besarnya sebagaimana 
dalam Hadis "bithaqah" (kad yang bertuliskan "la ilaha ilallah") ditimbang 
dengan 99 dosa di salah satu daun timbangan. Maka yang lebih berat adalah 
"bithaqah"."

Inilah keadaan orang yang mengucapkannya dengan ikhlas dan jujur sebagaimana 
dalam Hadis tersebut. Kalau tidak ikhlas, maka betapa banyak orang yang 
melakukan dosa besar masuk Neraka, padahal mereka mengucapkan kalimat 
Tauhid, namun ucapan mereka tidak dapat menghapuskan dosa-dosa mereka 
sebagaimana ucapan pemilik "bithaqah".

Ketaatan tanpa keikhlasan dan kejujuran kerana Allah tidak akan mendapat 
pahala, bahkan pelakunya akan dicampakkan ke dalam Neraka meskipun ketaatan 
itu berupa amal-amal besar seperti berinfaq, berhjihad, mencari ilmu 
syariat. Sebagaimana dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa tiga macam orang 
yang pertama-tama diputuskan hukuman yang kemudian dimasukkan ke dalam api 
Neraka, iaitu : Pertama, orang yang berjihad kerana ingin mendapat julukan 
sebagai pemberani. Kedua, orang yang belajar dan membaca Al-Quran, supaya 
dikatakan orang yang alim dan qari'. Ketiga, orang yang mengeluarkan 
shadaqah agar dikatakan orang bahawa ia dermawan (suka memberi shadaqah)

[HSR. Muslim 6/47, diriwayatkan juga Imam Ahmad dan Nasa'i]


Ketiga macam orang tersebut tidak ikhlas, dan melakukan amal itu bukan 
kerana Allah. Ikhlas adalah dasar utama dari tiap-tiap amal. Amal 
diumpamakan jasad, sedang jiwanya adalah ikhlas.


- Pengertian Ikhlas -

DALAM mendefinasikan ikhlas, para Ulama' berbeda pendapat redaksi dalam 
menggambarkannya. Ada yang berpendapat bahawa ikhlas adalah memurnikan 
tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah dari berbagai tendensi peribadi. 
Ada pula yang berpendapat bahawa ikhlas adalah mengesakan Allah Ta'ala dalam 
melaksanakan ibadah kepada-Nya. Ada pula yang berpendapat bahawa ikhlas 
adalah pembersihan amal dari kejahatan kepada makhluk.

Al-'Izz bin Abdis Salam berkata : "Ikhlas ialah seorang mukallaf 
melaksanakan ketaatan yang semata-mata kerana Allah. Ia tidak berharap 
pengagungan dan penghormatan manusia dan tidak pula berharap manfaat dan 
menolak bahaya."

Al-Harawi mengatakan : "Ikhlas ialah membersihkan amal dari stiap noda." 
Berkata yang lain : "Seorang yang ikhlas adalah orang yang tidak mencari 
perhatian di hati manusia dalam rangka memperbaiki hatinya di hadapan Allah 
dan tidak suka seandainya manusia sampai memperhatikan seberat biji sawi pun 
dari amalnya."

Abu 'Utsman berkata : "Ikhlas ialah melupakan pandangan makhluk dengan 
selalu melihat kepada Khaliq (Allah)."

Abu Hudzaifah Al-Mar'asyi berkata : "Ikhlas ialah sesuainya perbuatan 
seorang hamba antara lahir dan batin."

Abu 'Ali Fudlail bin 'Iyadl berkata : "Meninggalkan amal kerana manusia 
adalah riya' dan beramal kerana manusia adalah syirik. Dan ikhlas ialah 
apabila Allah menyelamatkan kamu dari keduanya."

Ikhlas ialah mengkehendaki keredhoan Allah dalam suatu amal, membersihkannya 
dari segala noda individual maupun duniawi. Tidak ada yang melatarbelakangi 
suatu amal kecuali kerana Allah dan demi hari akhirat. Tidak ada noda yang 
mencampuri suatu amal, seperti kecenderungan kepada dunia untuk diri sendiri 
yang nampak maupun yang tersembunyi atau kerana mencari harta rampasan atau 
agar dikatakan berani ketika perang, kerana syahwat, kedudukan, harta benda, 
kebenaran, agar mendapat tempat di hati orang banyak, mencari sanjungan 
tertentu, kerana kesombongan yang terselubung atau kerana alasan-alasan lain 
yang tidak terpuji yang intinya bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu, 
maka semua ini adalah noda yang mengotori keikhlasan.

Landasan amal yang ikhlas adalah memurnikan niat kerana Allah semata. Setiap 
bahagian dari perkara duniawi yang sudah mencemari amal kebaikan, sedikit 
atau banyak, dan apabila hati kita bergantung kepadanya, maka kemurnian amal 
itu ternoda dan hilang keikhlasannya. Kerana itu orang yang jiwanya 
terkalahkan oleh perkara duniawi, mencari kedudukan dan populariti, maka 
tindakan dan perilakunya mengacu pada sifat tersebut sehingga tidak akan 
murni ibadah yang dilakukan, seperti solat, puasa, menuntut ilmu, berdakwah 
dan lainnya.

Syeikh Muhammad bin Salih Al-'Utsaimin berpendapat bahawa ikhlas kerana 
Allah ertinya apabila sesaorang melaksanakan ibadah yang tujuannya untuk 
taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dan mencapai tempat kemuliaan-Nya.


- Sulitnya Mewujudkan Ikhlas -

MEWUJUDKAN Ikhlas bukan pekerjaan yang mudah seperti anggapan orang yang 
jahil. Para Ulama' yang telah meniti jalan kepada Allah telah menegaskan 
tentang sulitnya ikhlas dan beratnya mewujudkan ikhlas di dalam hati, 
kecuali orang yang memang dimudahkan Allah.

Imam Sufyan Ats-Tsauri berkata : "Tidaklah aku mengubati sesuatu yang lebih 
berat daripada mengubati niatku, sebab ia sentiasa berbolak-balik pada 
diriku."

Kerana itu Rasulullah SAW berdoa dengan doa ini :

"Ya Allah yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku atas agama-Mu."

Lalu seorang Sahabat berkata : "Ya Rasulullah, kai berIman kepadamu dan 
kepada apa yang engkau bawa, apakah engkau khuatir atas kami?"

Beliau menjawab : "Ya, kerana sesungguhnya seluruh hati manusia di antara 
dua jari tangan Allah dan Allah membolak-balikkan hati sekehendak-Nya."

[HRS. Ahmad 3/112, Tirmidzi 2147 dan Hakim 1/526. ]


Yahya bin Abi Katsir berkata : "Belajarlah niat, kerana niat lebih penting 
daripada amal."

Mutharrif bin Abdullah berkata : "Kebaikan hati bergantung kepada kebaikan 
amal dan kebaikan amal bergantung kepada kebaikan niat."

Pernah ada orang bertanya kepada Suhai : "Apakah yang paling berat bagi 
nafsu manusia?" Ia menjawab : "Ikhlas, sebab memang nafsu tidak pernah 
memiliki bahagian daripada ikhlas."

Dikisahkan ada seorang alim yang selalu salat di saf aling depan (saf 
pertama). Suatu hari ia datang terlambat, maka ia mendapat salat di saf 
kedua. Di dalam benaknya terbesit rasa malu kepada para jamaah lain yang 
melihatnya. Maka  pada  saat itulah ia menyedari bahawa sebenarnya 
kesenangan dan ketenangan hatinya ketika solat di saf pertama pada hari-hari 
sebelumnya disebabkan kerana ingin dilihat oleh orang lain.

Yusuf bin Husein Ar-Razi berkata : "Sesuatu yang paling sulit di dunia 
adalah ikhlas. Aku sudah bersungguh-sungguh untuk menghilangkan riya' dari 
hatiku, seolah-olah timbul (riya') dengan warna lain."

Ada pendapat yang lain : "Ikhlas sesaat saja, merupakan keselamatan 
sepanjang masa kerana ikhlas sesuatu yang sangat mulia."

Ada lagi yang berkata : "Barangsiapa melakukan ibadah sepanjang umurnya, 
lalu dari ibadah itu satu saat saja ikhlas kerana Allah, maka ia akan 
selamat. Masalah ikhlas adalah masalah yang sulit, sehingga sedikit sekali 
perbuatan yang boleh dikatakan murni ikhlas kerana Allah. Dan sedikit sekali 
orang yang mau memperhatikannya kecuali orang yang mendapatkan taufiq 
(pertolongan dan kemudahan) dari Allah SWT. Adapun orang yang lalai akan 
masalah ikhlas ini akan sentiasa melihat pada nilai kebaikan yang pernah ia 
lakukan. Padahal di hari Kiamat kelak oerbuatannya itu justeru menjadi 
keburukan. Merekalah orang yang dimaksudkan oleh firman Allah Ta'ala, 
bermaksud :

"....Dan jelaslah bagi mereka azab dari Allah yang belum pernah mereka 
perkirakan. Dan (jelaslah) bagi mereka akibat buruk dari apa yang telah 
mereka perbuat...."

[Az-Zumar : 47-48]


"Katakanlah : "Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang 
yang paling merugi perbuatannya? Iaitu orang-orang yang telah sia-sia 
perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa 
mereka berbuat sebaik-baiknya."

[Al-Kahfi : 103-104]


Bila anda melihat seseorang yang menurut penglihatan anda telah melakukan 
amal Islam secara murni dan benar, bahkan boleh jadi dia juga beranggapan 
seperti itu. Tapi bila anda tahu dan hanya Allah  saja yang tahu, anda 
mendapatkannya sebagai orang yang rakus terhadap dunia dengan cara 
berselindung pakaian agama. Dia berbuat untuk dirinya sendiri agar dapat 
mengecoh orang lain bahawa seakan-akan dia berbuat untuk Allah. Ada lagi 
yang lain, iaitu beramal kerana ingin disanjung, dipuji, ingin dikatakan 
bahawa dialah orang yang baik atau yang paling baik atau terbetik di dalam 
hatinya bahawa dia sajalah yang sempurna terhadap Sunnah, adapun yang 
lainnya tidak. Ada lagi yang belajar kerana ingin lebih tinggi daripada yang 
lain, supaya dapat penghormatan, harta dan tujuannya ingin berbangga dengan 
para Ulama', mengalahkan orang yang bodoh atau orang lain berpaling 
kepadanya. Maka Allah akan masukkan dia ke Neraka Jahannam. Na'udzubillahi 
min dzalik!

Membersihkan diri dari hawa nafsu yang nampak maupun tersembunyi, 
membersihkan niat dari berbagai noda, nafsu peribadi dan duniawi, juga tidak 
mudah. Oleh kerana itu perlu usaha yang maksima, selalu memperhatikan 
pintu-pintu masik bagi syaitan ke dalam jiwa, membersihkan hati dari unsur 
riya', kesombongan, gila kedudukkan, pangkat, untuk pamir dan lainnya.

Sulitnya mewujudkan ikhlas kerana hati manusia selalu berbolak-balik. 
Syaitan selalu menggoda, menghiasi dan memberikan was-was ke dalam hati 
manusia, serta adanya dorongan hawa nafsu yang selalu menyuruh berbuat keji. 
Kerana itu kita diperintahkan berlindung dari godaan syaitan.

Firman Allah Ta'ala, bermaksud :

"Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada 
Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

[Al-A'raf : 200]


Jadi kesimpulannya ikhlas adalah dengan membuangkan 
pertimbangan-pertimbangan peribadi, memotong kerakusan terhadap dunia, 
mengikis dorongan-dorongan nafsu dan lainnya. Dan bersungguh-sungguh beramal 
ikhlas kerana Allah, akan mendorong seseorang melakukan ibadah kerana taat 
kepada perintah Allah dan Rasul. ingin selamat di dunia dan akhirat dan 
mengharap ganjaran dari Allah.

Upaya mewujudkan ikhlas boleh tercapai bila kita mengikuti Rasulullah SAW 
dan jejak Salafus Soleh dalam beramal dan taqarrub kepada Allah, selalu 
mendengar nasihat mereka serta berupaya semaksima mungkin dan 
bersungguh-sungguh mengekang dorongan nafsu dan selalau berdoa kepada kepada 
Allah Ta'ala.

Wallahu ta'ala a'lamu bis shawab.......

TO BE CONTINUED.......

Wassalamu.......

Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri

______________________________________________________
Get Your Private, Free Email at http://www.hotmail.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Abdul Jamil Lam" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke