BERITA MALAYSIA


November 02 , 1999 20:52PM

 

MAJLIS PEGUAM TIADA KUASA BERTINDAK TERHADAP KARPAL

 

MELAKA, 2 Nov (Bernama) -- Majlis Peguam tidak dapat mengambil tindakan terhadap Karpal Singh kerana ia tiada kuasa berbuat demikian, kata presidennya R.R. Chelvarajah hari ini.

Menurutnya majlis itu boleh bertindak terhadap peguam mengikut Seksyen 88 Akta Profesion Guaman 1976 jika ia membabitkan penipuan atau pemalsuan. "Barisan Bertindak Rakyat Anti-Karpal Singh telah salah tempat dengan menggesa siasatan dibuat terhadap Karpal yang dikatakan melanggar etika guaman," katanya pada sidang berita di sini hari ini.

Kumpulan itu semalam menyerahkan memorandum kepada majlis peguam mendesak supaya tindakan disiplin diambil terhadap Karpal kerana didakwa melanggar etika itu semasa perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chelvarajah berkata tindakan yang boleh diambil oleh Majlis Peguam hanyalah membalas memorandum terbabit dengan menasihati kumpulan itu menyuarakan pendapat mereka kepada lembaga disiplin bebas yang diketuai oleh hakim Mahkamah Rayuan.

"Kami telah meneliti memorandum atau aduan itu dan mendapati bahawa majlis tidak mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap peguam berkenaan," katanya.

Persoalan mengenai pelanggaran etika atau salah laku profesion seperti yang didakwa dalam keadaan sekarang tertakluk kepada Seksyen 77(3) Akta Profesion Guaman 1976, katanya.

Lembaga disiplin bebas menyiasat memandangkan Majlis Peguam tidak mempunyai kuasa untuk mengawal profesion dan menjatuhkan hukuman jika ia membabitkan pelanggaran etika profesion, kata Chelvarajah.

Setakat 1 April 1, 1992, kuasa untuk menyiasat dan menghukum mereka yang melanggar etika diambil alih oleh lembaga disiplin berikutan pindaan kepada akta berkenaan, katanya.

Katanya Majlis Peguam akan menulis surat kepada kumpulan itu memintanya merujuk perkara terbabit kepada lembaga disiplin yang mempunyai sekretariat di No 4, tingkat satu dan dua, Medan Pasar, Kuala Lumpur.

Chelvarajah juga menyuarakan kekecewaannya terhadap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ibrahim Ali dan sesetengah ahli politik yang menggesa majlis itu mengambil tindakan terhadap Karpal Singh.

"Beliau (Ibrahim) selaku timbalan menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal perundangan sepatutnya lebih arif dan tidak membawa perkara itu kepada Majlis Peguam kerana kami tidak mempunyai kuasa untuk bertindak," katanya.

Chelvarajah bagaimanapun berkata masalah itu timbul kerana masyarakat mempunyai salah tanggapan bahawa majlis itu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anggotanya. -- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke