*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Ringkasan
PENDIDIKAN ISLAM DAN MADRASAH HASAN AL-BANNA (1/3)
- Dr Yusof Al-Qardhawi
1. Pendahuluan
Pendidikan Islam menurut Ikhwanul Muslimin dan penerapannya mempunyai
ciri-ciri khas dan menonjol, yang terpenting ialah:
1. Ketuhanan (Rabbani)
2. Sempurna dan lengkap
3. Keserasian dan keseimbangan
4. Positif dan membangun
5. Persaudaraan dan jemaah
2.1 Ketuhanan
Sudut ketuhanan atau keimanan dalam pendidikan Islam seperti yang difahami
dan diterapkan oleh Ikhwanul Muslimin adalah segi yang paling penting dan
paling mendalam pengaruhnya. Ini tidaklah asing, kerana tujuan pertama dan
utama dari pendidikan Islam adalah membentuk manusia yang beriman kepada
Allah.
Iman menurut pengertian Islam bukanlah semata-mata pengetahuan seperti
pengetahuan para teolog dan failasuf, bukan pula semata-mata jiwa yang
menerawang seperti perasaan orang sufi dan bukan pula semata-mata ketekunan
beribadat seperti ketekunan orang-orang zahid. Iman adalah kesatuan dari
semua ini, tidak menyimpang dari kebenaran, tidak lalai dan tidak pula
berlebih-lebihan, disertai kritifitas menyebarkan kebenaran dan kebaikan
serta membimbing manusia ke jalan yang benar.
Itulah iman para sahabat dan tabien, yang meliputi keyakinan hati, pengakuan
lisan dan amal perbuatan. Iman yang mewarnai kehidupan mereka di masjid, di
rumah dan di dalam masyarakat; di dalam keadaan bersendirian dan di tengah
ramai; di waktu malam dan siang; dalam pekerjaan dunia dan dalam amal
akhirat. Demikianlah ciri keluasan dan kedalaman iman dalam pendidikan
Ikhwanul Muslimin.
Tiang pendidikan berdasarkan ketuhanan adalah hati yang hidup yang
berhubungan dengan Allah swt, meyakini pertemuan denganNya dan hisabNya,
mengharapkan rahmatNya dan takut akan siksaNya. Hakikat manusia bukanlah
terletak pada bentuk fizikalnya yang terdiri dari sel-sel dan jaringan,
tulang dan otot-otot. Tetapi hakikatnya itu terletak pada jiwa yang bersemi
pada fizikal yang menggerakkannya, menyuruh dan melarangnya. Hakikat itu
adalah hati.
Hati yang hiduplah yang menjadi penilaian Allah swt, menjadi tajalli dan
pancaran nurNya. Ia juga adalah satu-satunya pegangan yang dapat ditunjukkan
oleh seseorang hamba kepada Tuhannya pada hari kiamat sebagai sarana bagi
keselamatannya. Tanpa hati yang dilimpahi iman dan disinari keyakinan ini,
manusia adalah mayat, meskipun menurut perhitungan zahir ia masih hidup.
Kerana itu pendidikan Ikhwanul Muslimin bertujuan untuk menghidupkan hati
supaya ia tidak mati, memperbaikinya sehingga ia tidak rosak dan
memperhaluskannya supaya ia tidak kasar. Hati manusia sama dengan tubuhnya,
memerlukan tiga perkara:
a) pemeliharaan supaya ia selamat;
b) makanan supaya ia hidup; dan
c) pengubatan supaya ia sihat.
Hal pertama yang wajib dipelihara supaya hati bebas daripadanya dan diberi
suntikan supaya kebal terhadapnya ialah sifat cinta kepada dunia yang menjadi
pokok setiap kesalahan dan sumber setiap penyakit. Suntikan untuk mencegahnya
ialah yakin kepada akhirat, ingat kepada balasan Allah dan
membanding-bandingkan antara keremehan yang ada pada kita dengan kebesaran
yang ada di sisi Allah.
Setelah memelihara hati dari penyakit, usaha kemudiannya diarahkan untuk
memberi santapan kepada hati. Santapan hati hanya akan sempurna dengan adanya
peribadatan yang terus menerus dengan Allah swt. Malah di antara nilai-nilai
pokok yang dilaksanakan oleh pendidikan ketuhanan Ikhwanul Muslimin adalah
ibadat kepada Allah. Itulah tujuan pertama dari penciptaan manusia. Allah swt
berfirman:
"Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat
kepadaKu." (Adz-Dzaariyaat : 56)
Ibadat - dengan pengertian umum - ialah suatu nama yang mencakup segala apa
yang disukai dan diredhai oleh Allah, berupa perkataan dan perbuatan. Tetapi
yang dimaksudkan di sini adalah ibadat dalam pengertian khusus, iaitu
beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melaksanakan
syiar-syiarnya, berzikir dan bersyukur kepadaNya. Di antara unsur-unsur pokok
yang ditekankan oleh Ikhwanul Muslimin dalam ibadat adalah:
a) Sentiasa mengikuti sunnah dan menjauhi bidaah.
b) Mengutamakan ibadat-ibadat fardhu.
c) Menggemarkan shalat secara berjemaah.
d) Menggemarkan amalan sunat.
e) Menggemarkan berzikir kepada Allah.
Tidaklah anih kalau suatu waktu manusia melakukan dosa. Tetapi adalah anih
sekiranya ia berterusan melakukan dosa tanpa bertaubat. Nabi Adam sendiri
melakukan kesalahan, lalu Allah menerima taubat dan mengampuninya.
Anggota-anggota Ikhwanul Muslimin adalah manusia turunan Adam juga. Sebab itu
tidaklah anih kalau di antara mereka ada yang melakukan kesalahan, yang
menyalahi apa yang diperintahkan kepada mereka atau mengerjakan apa yang
dilarang Allah. Akan tetapi sebaik-baik yang melakukan dosa adalah yang
bertaubat lagi beristighfar. Inilah ubat yang diperlukan hati supaya ia
kembali sihat.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: [EMAIL PROTECTED]