*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamu'alaikum,

Saya tak pasti jika sebelum ini sudah ada topik ni dibincangkan. Saya 
catatkan fatwa Yusof Qardawi dari buku "Fatwa Masa Kini" muka surat 335-343. 
Ianya agak panjang- harap sabar sikit. Banyak nas2 yang Qardawi bentangkan:


Masjid Dan Politik

Soalan:
Kami berselisih pendapat dalam satu persoalan penting. Ada yang bersetuju 
dan ada yang membangkang. Masing-masing tidak dapat menerima pendapat orang 
lain.

Kami bersetuju untuk merujuk kepada pihak tuan (yakni Yusof Qardawi), kerana 
persoalan ini penting, terutamanya pada masa kini.

Persoalannya ialah: Adakah harus menggunakan masjid untuk tujuan politik? 
Apakah dalil keharusannya, jika hukumnya harus? Atau dalil pengharamannya, 
jika ia ditegah?

Semoga Allah Taala memnberi taufik dan manafaat ilmu tuan kepada umat Islam.

Jawapan Yusof Qardawi:
Masjid: Pusat Dakwah dan Pemerintahan di Zaman Nabi (s.a.w.)

Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) merupakan pusat kegiatan Jamaah 
Muslimin. Ia bukan setakat tempat beribadat dan sembahyang bahkan sebagai 
tempat beribadat, markaz ilmu, kelab sastera, parlimen, tempat perkenalan, 
tempat berkumpulnya rombongan-rombongan yang dating dari seluruh pelusuk 
Semenanjung Tanah Arab, tempat Rasulullah (s.a.w.) membuat pertemuan dengan 
mereka dan tempat Rasulullah (s.a.w.) menyampaikan khutbah dan tunjuk 
ajarnya tentang seluruh kehidupan sama ada urusan keagamaan, kemasyarakatn 
dan pentadbiran.

Di dalam kehidupan Rasulullah (s.a.w.) tidak ada pemisahan di antara urusan 
agama (mengikut istilah orang sekarang) dan politik. Baginda tidak mempunyai 
satu tempat yang lain bagi politik dan  permasalahannya selain daripada 
masjid. Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) adalah markaz dakwah dan 
politik.

Masjid Di Zaman Kegemilangan dan Zaman Kemuduran.
Begitu juga di zaman Khulafa Ar Rashidin selepas Rasulullah (s.a.w). Masjid 
dijadikan sebagai tempat  pelbagai aktiviti sama ada aktiviti politik dan 
sebagainya.

Abu Bakar as-Siddiiq menyampaikan ucapan dasarnya yang pertama di masjid. 
Disinilah beliau menerangkan program politik atau strategi pemerintahannya. 
Beliau berkata: “Wahai manusia! Aku dilantik memerintah kamu. Aku bukanlah 
orang yang paling layak dari kalangan kamu. Jika kamu melihat aku berada di 
atas jalan yang benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, perbetulkanlah 
aku.”

Umar bin al-khattab juga menyampaikan ucapan dasarnya di masjid, beliau 
berkata: “Wahai manusia! Sesiapa yang melihat aku menyeleweng, perbetulkan 
aku!” Lalu seoang makmum berkata: “Demi Allah, jika kami melihat kamu 
menyeleweng, kami akan memperbetulkannya dengan mata pedang kami!” Umar 
menjawab: “Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang menjadikan di kalangan 
rakyat Umar, mereka yang akan membetulkan penyelewengan Umar dengan mata 
pedangnya.”

Masjid terus berfungsi di zaman sebaik-baik umat ini dan di zaman 
kegemilangannya. Tetapi ketika luputnya bintang tamadun Islam dan umat Islam 
menjadi mundur dalam segenap bidang kehidupan, fungsi masjid turut berubah. 
Masjid hanya dijadikan tempat menunaikan sembahyang sahaja. Khutbah yang 
diucapkan mati tidak bertenaga. Kerana ia bukan menyampaikan khutbah tetapi 
membaca khutbah. Tajuknya hanya berligar di sekitar zuhud di dunia, 
mengingati kematian, fitnah kubur, dan azab akhirat.

Oleh kerana itu sewaktu ruh kebangkitan Islam mula meresapi tubuh umat ini, 
kita dapati sebahagian daripada khatib bercakap tentang permasalahan umat 
Islam, mengkritik suasana penyelewengan kehidupan umat, khususnya kezaliman 
pemerintah, kebisuan ulama dan kedinginan cendikiawan. Oleh itu kita dapati, 
setengah orang berkata: Khatib itu bercakap tentang politik…!

Politik Yang Diterima dan Politik Yang Ditolak.

Saya tidak faham, kenapa ketika disebut kalimah ‘politik’, seolah-olah ia 
merupakan satu kehinaan atau jenayah?! Sedangkan ilmu politik adalah satu 
cabang ilmu yang paling mulia dan orang yang berkecimpung dalam bidang 
politik adalah mereka yang memikul satu tugas yang paling mulia.

Yang peliknya lagi ialah sebahagian ahli politik sendiri yang 
bertanya:”Adakah harus menggunakan masjid untuk tujuan politik?” Sedangkan 
mereka bergelumang dalam politik daripada hujung rambut ke hujung kaki.

Politik itu sendiri bukanlah perkara mungkar dan kotor, apabila ia mengikut 
garisan-garisan yang telah ditetapkan oleh prinsip-prinsip Islam dan berada 
di dalam lengkaran hukum dan nilai-nilainya.

Politik yang ditolak ialah politik ‘Micheavelli’ yang menyatakan matlamat 
menghalalkan cara, tidak beriltizam dengan akhlak serta nilai-nilai kebaikan 
dan mengenepikan halal dan haram.

Manakala politik dengan maksud mentadbir urusan seluruh manusia dengan 
menjaga kepentingan mereka dan menghilangkan keburukan serta menegakkan 
keadilan di kalangan mereka, makia ia adalah selari dengan agama, bahkan ia 
adalah sebahagian daripada agama kita, kerana Islam itu adalah aqidah, 
ibadah, akhlak dan sistem hidup yang lengkap.

Risalah masjid sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam yang sebenar tidak 
dapat digambarkan bahawa ianya boleh dipisahkan daripada politik dengan 
pengertiannya yang di atas.

Masjid diwujudkan untuk menangani seluruh permasalahan umat Islam dan setiap 
yang memberi kebaikan dalam urusan agama dan dunia mereka. Melalui masjidlah 
manusia mempelajari kebenaran, kebaikan, kelebihan di dalam seluruh 
kehidupan mereka, samada dari segi kerohanian, kebudayaan, sosial, ekonomi 
dan politik.

Hal ini dikenali sebagai ‘an-nasiihah’, salah satu kewajiban Islam yang 
diketahui, di mana Nabi (s.a.w.) menjadikankannya sebagai seluruh agama 
sebagaiaman di dalam sabdanya yang bermaksud; “Ad-Deen itu adalah nasihat…” 
Sahabat bertanya: “Untuk siapa wahai Rasulullah?” Sabdanya: “Bagi Allah, 
Rasul, Kitab dan Imam Muslimin serta umat Islam seluruhnya.”

Ia juga termasuk dalam konteks berwasiat dengan kebenaran dan berpesan 
dengan kesabaran yang dijadikan oleh al-Quran sebagai syarat untuk mendapat 
keselamatan daripada kerugian di dunia  dan akhirat.

Firman Allah bermaksud *( Al-Asr: 1-3): “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu 
dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan 
mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan 
sabar.”

Ia juga tergolong daripada amar-makruf dan nahi mungkar yang dijadikan oleh 
Allah Taala sebagai sebab utama kepada kebaikan umat ini. Firman Allah 
(s.w.t.):

Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang 
dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala 
perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk 
dan keji).” (Ali-Imran: 110).

Allah Taala juga menjadikannya salah satu daripada sifat asasi mukminin dan 
mukminat.

Firman Allah (s.w.t.):
Maksudnya: “ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, 
sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh 
berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka 
mendirikan sembahyang dan memberikan zakat serta ta’at kepada Allah dan 
Rasulnya. Mereka itulah akan diberikan rahmat oleh Allah.”

Di dalam ayat di atas, Allah (s.w.t.) mendahulukan kefardhuan amar makruf 
dan nahi mungkar daipada kefarduan solat dan zakat, sedangkan kedua-duanya 
merupakan rukun Islam. Ini menunjukkan kepentingan kefardhuan amar-makruf 
nahi mungkar.

Allah juga memberitakan kepada kita tentang laknat yang menimpa orang yang 
meninggalkan kewajipan ini di kalangan umat-umat yang terdahulu. FirmanNya:

Maksudnya: “Orang-orang kafir Yahudi dari bani Israel telah dilaknat (di 
dalam kitab-kitan Zabur dan Injil) melalui lidah nabi Daud dan nabi Isa bin 
Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh. 
Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri)n dari perbuatan 
mungkar (derhaka dan ceroboh) yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah 
buruknya apa yang mereka lakukan.”

Melalui nasihat, berpesan dengan kebenaran dan amar makruf nahi mungkar, 
masjid berperanan di dalam memberi pengarahan terhadap urusan pentadbiran 
umat, memberi kesedaran kepada mereka tentang permasalahan hidup mati mereka 
dan mendedahkan kepada mereka tentang tipu daya musuh.

Semenjak dahulu lagi masjid berperanan meniupkan semangat jihad fi 
sabilillah dan semangat menentang musuh yang menceroboh.

Intifadhah yang diberkati, yang berlaku sekarang di bumi ambiyak ‘Palestin’ 
bermula dari masjid. Seruan pertamanya bergema dari menara azan. Pada 
permulaannya kebangkitan ini dinamakan sebagai kebangnkitan masjid.

Begitu juga jihad di Afghanistan dan lain lain tempat lagi, masjid mempunyai 
peranannya yang tidak dapat dinafikan.

Saya masih ingat pada tahun 1956 sewaktu permusuhan tiga serangkai ke atas 
Mesir, saya dijemput oleh Kementerian Wakaf yang menjadi menterinya pada 
masa itu ialah Syeikh Ahmad al-Baaquri untuk menyampaikan khutbah Jumaat di 
salah sebuah masjid terbesar di Bandar kaherah untuk menguatkan semangat 
orang ramai. Walaupiun ketika itu saya tidak dibenarkan berkhutbah, mengajar 
dan setiap aktiviti yang memberi pengaruh kepada umum., tetapi keadaan 
darurat ketika itu memaksa mereka meminta pertolongan saya.

Kementerian wakaf dan ha ehwal masjid menyeru para khatibnya dari masa ke 
semasa supaya menyentuh dalam khutbah mereka tajuk-tajuk yang boleh menolong 
negara mencapai matlamatnya dan melaksanakan polisinya. Seperti bersederhana 
dalam melakukan penggunaan, menentang keganasan, memerangi pelampau, seruan 
ke arah kesatuan bangsa, kempen membasmi dadah…semuanya itu adalah dari 
lubuk politik.

Jadi apakah yang dimaksudkan dengan ‘tujuan-tujuan politik’ sebagaimana yang 
terdapat di dalam pertanyaan di atas?

Difahami daripada soalan seumpama ini ialah politik pembangkang yang 
menentang kerajaan.
Pada pendapat saya, politik yang berbentuk begini tidaklah ditegah secara 
mutlak dan tidak juga diharuskan secara mutlak.

Yang ditegah ialah menyebut nama-nama orang tertentu dan pendetailan secara 
terperinci untuk mencerca, menjatuhkan maruah dan memaki hamun. Perkara 
seumpama ini tidak harus dilakukan di atas mimbar dan tidak harus juga 
mimbar dipergunakan untuk tujuan memburukkan nama orang dan untuk tujuan 
fanatik kepartian.

Tetapi mimbar boleh digunakan untuk menyebut segala perkara yang melanggar 
syariat, walaupun ia merupakan polisi kerajaan. Masjid didirikan untuk 
meneguhkan syariat Allah bukan untuk meyokong polisi mana-mana kerajaan.

Ketika kerajaan bercanggah dengan syariat Allah, maka masjid mesti berada di 
saf syariat, bukan di saf kerajaan.

Tidak harus sama sekali masjid ditegah daripada haknya yang tradisi, logik 
dan bersejarah ini; iaitu hak memberi kesedaran dan peringatan kepada umat 
daripada taghut-taghut yang tidak melaksanakan syariat Allah dan 
meghukumkannya mengikut hawa nafsu mereka atau tuan-tuan mereka yang 
sedikitpun tidak mempunyai kekuatan ketika berhadapan dxengan kekuatan Allah 
(s.w.t..)

Di sesetengah negara Islam, kerajaan mengeluarkan enakmen berhubung hukum 
kekeluargaan yang bercanggah dengan syariat Islam, lalu ulama bangkit 
menentangnya dan mengkritik di masjid-masjid, kerana media massa yang lain 
dikuasai oleh kerejaan. Tindakan kerajaan tersebut terhadap ulama-uama yang 
berani ialah hukum bunuh dan bakar! Perkara ini secara tepatnya berlaku di 
Somalia.

Pemerintah menggunakan masjid sebagai trompet untuk mengembar-gemburkan 
polisinya. Apabila mereka mahu berdamai dengan Israel, maka mereka 
mengatakan bahwa perdamaian adalah satu kebaikan berdasarkan firman Allah 
(s.w.t):

Maksudnya: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka 
nengkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada 
Allah.” (Al-Anfaal: 61)

Ketika hubungan mereka dengan Israel menjadi tegang, maka mereka mengatakan 
bahawa bangsa Yahudi adalah musuh yang paling ketat kepada orang-orang yang 
beriman. Perdamaian dengan mereka adalah haram dan khianat.

Demikianlah apa yang terjadi. Masjid tidak lagi menjadi lidah yang benar 
bagi risalah Islam, bahkjan ia menjadi agensi dakyah kepada polisi kerajaan. 
Keadaan ini menyebabkan masjid hilang fungsi dan pengaruhnya di dalam 
masyarakat dan dalam waktu yang sama ia juga menjatuhkan kemuliaan ulama dan 
pendakwah kepada jalan Allah.

Kita memohon kepada Allah (s.w.t.) agar memberikan keselamatan kepada agama 
dan dunia kita.

_________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com.

Share information about yourself, create your own public profile at 
http://profiles.msn.com.


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "salam sejahtera" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke