*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* { Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net } { Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] } { Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] } *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Petikan dari http://www.detik.daily.tripod.com http://detik.daily.tripod.com/ogosa/1ogos_6.htm <><><><><><> DAP perlu fahami ‘Islam PAS’ Jangan dikelirukan oleh fahaman ‘Islam Umno’ dalam isu Negara Islam Oleh: DINSMAN Apa yang tiba-tiba diheboh-hebohkan pasal isu Negara Islam itu? Kononnya DAP tak bersetuju PAS berhasrat dan bercita-cita nak tubuhkan Negara Islam sekiranya dia (PAS) mendapat mandat untuk memerintah negara ini suatu hari nanti. Bukankah itu sememangnya sebahagian daripada hakikat apabila seseorang itu menganut agama Islam? Kita (DAP) harus sedar bahawa berbeza dengan agama-agama lain, Islam adalah addeen - yang bererti satu panduan hidup yang lengkap dan sempurna, merangkumi seluruh aspek dan bidang kehidupan, termasuk undang-undang dan kenegaraan. Adalah menjadi satu kesalahan bagi seorang Islam untuk secara sedar dan sengaja menolak hasrat dan cita-cita ke arah penubuhan sebuah Negara Islam; kerana dengan menolak hasrat dan cita-cita itu bererti dia menolak kenyataan bahawa Islam itu satu panduan hidup yang lengkap dan sempurna meliputi seluruh aspek dan bidang kehidupan. Persoalan ini perlu kita fahami di peringkat asas ini terlebih dahulu. Jangan kita terus terjebak dan terperangkap dalam satu perdebatan yang akan merugikan kita, malah akan merosakkan persefahaman dan permuafakatan kita dalam Barisan Alternatif. Hendak menubuhkan Negara Islam itu sememangnya menjadi cita-cita dan perjuangan PAS sejak lama dulu. Itu cita-cita dia. Itu matlamat perjuangan dia. Itu kepercayaan dia. Itu pegangan hidup dia. Tak dapat tidak. Kalau tak ada cita-cita dan perjuangan itu, tak adalah PAS. Ini hakikat perlu difahami terlebih dahulu, kerana hakikat inilah yang membezakan Islam PAS dengan Islam Umno. Ya, memang. Islam PAS tak sama dengan Islam Umno. Walaupun Islam itu satu-satunya itulah Islam, tetapi malangnya di negara kita ini dua parti politik terbesar yang dianggotai oleh orang Islam (dan Melayu) telah berbeza pendapat dan tafsiran terhadap apa sebenarnya erti dan maksud Islam. Dan inilah juga pun faktor perpecahan Melayu yang sebenarnya. Perbezaan fahaman dan kepercayaan mereka terhadap Islam menyebabkan mereka berpecah-belah. Dan kebetulan pula perbezaan fahaman dan kepercayaan terhadap agama (Islam) ini turut menjadi asas kepada kelangsungan kewujudan dua parti politik utama mereka. PAS secara ikhlas dan sungguh-sungguh percaya dan berusaha untuk melaksanakan seluruh ajaran Islam seperti yang termaktub dalam al-Quran dan Hadith; manakala Umno pula selalu berdolak-dalik mencari alasan untuk memperlihatkan bahawa beberapa sistem yang ditetapkan oleh Islam itu tidak sesuai untuk dilaksanakan. Umno kata PAS memperalatkan Islam. Padahal yang sebenarnya Umnolah yang memperalatkan Islam. PAS memperjuangkan Islam. Tiada yang lain selain daripada Islam, bagi PAS. Tetapi bagi Umno, Islam hanya sampingan. Islam bukan matlamat perjuangan Umno. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa diamalkan secara berleluasa oleh pemimpin-pemimpin Umno, walaupun memang ada undang-undang negara yang menegahnya. Kerana apa? Kerana Umno melihat gejala itu dari pemikiran sekular, manakala PAS melihatnya dari pemikiran agama. Pemikiran sekular melihat sesuatu tanpa ada sebarang hubungan dengan Akhirat, sedangkan pemikiran agama Islam melihat setiap sesuatu dalam kerangka hukum halal-haram yang berhubungan dengan kehidupan Akhirat. PAS melihat semuanya dari kacamata Islam, sedangkan Umno tidak. Pimpinan PAS sentiasa berdakwah supaya pengikut-pengikutnya mengutamakan kehidupan Akhirat dan sentiasa memikirkan hukum halal-haram dalam setiap gerak dan tindakan. Tetapi pemimpin Umno tidak demikian. Dalam PAS ada tarbiyah (dan tarbiyah itu penting). Pusat gerakan parti atau pejabat parti di setiap peringkat pun dipanggil 'Markas Tarbiyah'. Bukan saja-saja panggil nama tanpa makna. Tarbiyah itu maknanya didikan atau mendidik. Itu bentuk organisasi PAS. Mendidik ahli-ahlinya berasaskan ajaran agama Islam. Itu komitmen asas organisasi PAS. Dan itu tidak ada dalam Umno. Tugas mendidik ahli ke arah menghayati ajaran agama tidak pernah ada dalam Umno. Maka itu politik wang boleh berleluasa dalam Umno, tetapi tak boleh berleluasa dalam PAS. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa boleh berleluasa dalam pentadbiran kerajaan Umno, tetapi tak boleh berleluasa dalam pentadbiran kerajaan PAS. Itu antara perbezaan asas di antara Islam yang dipegang dan dipraktikkan oleh PAS dengan Islam yang dipegang dan dipraktikkan oleh Umno, dan malah oleh banyak negara-negara lain juga di dunia ini yang pemimpin-pemimpinnya terdiri daripada orang Islam. DAP dan orang-orang yang seperti DAP perlu faham perkara ini. Memang ajaran Islam itu satu. Tetapi tafsiran dan praktisnya berbagai-bagai. Islam yang hendak dipraktiskan oleh PAS pimpinan Nik Aziz-Fadzil-Hadi mungkin berbeza dengan mana-mana jua tafsiran Islam yang terdapat pada kerajaan-kerajaan di dunia hari ini. Bukan berbeza dengan Umno sahaja. Dan pastinyalah berbeza sekali dengan Islam yang diinterpretasi dan dipropagandakan oleh media-media Barat, yang ditiru pula oleh media-media kawalan kerajaan BN di sini. Biarpun demikian, tidaklah susah bagi sesiapa sahaja di Malaysia ini – sama ada DAP atau bukan DAP - untuk memahami Islam tafsiran dan amalan PAS. Lihat sahaja pada apa yang telah dipraktiskan oleh kerajaan PAS pimpinan Nik Aziz di Kelantan, selama lebih 10 tahun. Yang paling diutamakan oleh PAS dalam pelaksanaan Negara Islamnya bukannya hukum potong tangan ke atas orang mencuri atau hukum rejam dengan batu ke atas orang berzina. Yang paling diutamakan, sekali lagi saya ulang, ialah tarbiyah. Kerja Nik Aziz yang utama sebagai Menteri Besar ialah mentarbiyah rakyatnya; dan tarbiyahnya yang utama ialah supaya orang Islam mengutamakan kehidupan Akhirat dan menyedari hukum halal-haram dalam setiap tindakan. Namun apabila demikian janganlah pula disalah faham mengatakan PAS anti pembangunan, atau kerajaan PAS mengabaikan aspek pembangunan ekonomi dan kemajuan teknologi. Tidak sama sekali. Bahkan perkembangan ekonomi dan teknologi mungkin akan mencapai kemajuan yang lebih hebat lagi di bawah pentadbiran kerajaan Islam PAS, kerana pimpinannya akan mempastikan perkara-perkara seperti rasuah, kronisme, nepotisme dan penyalahgunaan kuasa tidak akan berlaku, terutamanya dalam jentera kerajaan. Telah lebih 10 tahun PAS memerintah Kelantan dan hampir 20 bulan memerintah Tetengganu - apakah mereka pernah bertindak menghapuskan kemajuan perdagangan, perindustrian dan teknologi yang pernah dibina oleh kerajaan BN di negeri-negeri itu (kecuali arak, judi dan maksiat)? Atau apakah mereka pernah menghalang pihak swasta daripada menjalankan kegiatan yang boleh memajukan perdagangan, perindustrian dan teknologi di negeri-negeri itu? Tidak pernah. Bahkan yang melakukan demikian terhadap negeri Kelantan dan Terengganu yang di bawah pentadbiran kerajaan PAS ialah pihak BN. (Untuk memahami lebih lanjut perkara ini sila baca buku Sepuluh Tahun Membangun Bersama Islam - Kelantan di bawah Kepimpinan Ulamak, terbitan Pusat Kajian Strategik, Kota Bharu.) Adapun mengenai Hukum Hudud pula, yang dijadikan isu oleh pihak BN bagi menakut-nakutkan orang bukan Islam terhadap cita-cita penubuhan Negara Islam oleh PAS, secara ringkasnya bolehlah dilihat seperti berikut: Hukum Hudud potong tangan atau rejam dengan batu atau sebat dengan rotan itu hanya akan dilaksanakan "apabila keadaan mengizinkan". Bunyinya macam serupa dengan alasan yang selalu diberikan oleh Umno, yang selalu kata "keadaan tidak mengizinkan". Tetapi maksud sebenarnya tak serupa. Jauh berbeza. Umno selalu kata keadaan di Malaysia hari ini tidak mengizinkan untuk dilaksanakan Hukum Hudud. Umno kata keadaan masyarakat yang berbilang agama ini tidak mengizinkannya. Maka undang-undang berkenaan pun tidak diusulkan untuk diluluskan oleh Parlimen. PAS tak kata begitu. PAS kata masyarakat yang berbilang agama tidak menjadi faktor untuk kita menolak pelaksanaan Hukum Hudud, kerana masyarakat Madinah di zaman Nabi Muhammad dulu pun berbilang agama juga. Dalam masyarakat Madinah yang berbilang agama itulah Negara Islam pertama telah diasaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Jadi, masyarakat Malaysia berbilang agama ini tidak menjadi masalah untuk Hukum Hudud diluluskan sebagai undang-undang negara. Dan Hukum Hudud itu, sekali lagi saya ulang, tidak semestinya menghukum potong tangan. Sebenarnya mudah saja nak faham mengenai Hukum Hudud ini. Bacalah buku kecil Qazaf - Mangsa Fitnah, karangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Nipis sahaja bukunya, dan bahasanya pun mudah difaham. Contoh paling jelas dan nyatanya ialah kes Anwar Ibrahim. Sekiranya undang-undang Hukum Hudud digunapakai dalam perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim itu, kezaliman ke atas Anwar tidak mungkin terjadi. Hukum Hudud dapat mempastikan keadilan terlaksana dalam kes tersebut. Memang ada hukum potong tangan dan sebagainya itu dalam pelaksanaan Hukum Hudud. Tetapi hukum-hukum itu hanya akan dilaksanakan "apabila keadaan mengizinkan" sahaja. Sedangkan "keadaan" yang diperlukan untuk mengizinkan berlakunya hukum potong tangan dan sebagainya itu tersangatlah ketat, hingga apabila kalau ia berlaku maka ketika itu keadilan sudahpun dibuktikan. Peraturan Hukum Hudud itu walaupun di hujungnya terdapat hukum potong tangan atau rejam dengan batu atau sebat dengan rotan, tetapi di sepanjang proses perbicaraannya yang dipagari dengan syarat-syarat yang ketat itu, hala tuju perbicaraan bukannya untuk menghukum, sebaliknya adalah untuk membebaskan orang yang tertuduh itu. Saya kira tak perlulah saya berpanjang-panjang mengenai perkara ini. Eloklah baca saja buku Qazaf - Mangsa Fitnah itu. Yang hendak saya katakan dalam tulisan ini sebenarnya ialah janganlah kita terperangkap dalam satu perdebatan mengenai cita-cita perjuangan PAS itu, hingga ia merugikan kita bersama. Apa yang DAP takutkan sangat dengan Negara Islam? Kita bimbang bahawa yang DAP takutkan sangat itu bukannya "Negara Islam PAS", tetapi adalah negara Islam yang ditafsirkan secara yang salah oleh Umno. Mahathir (Umno) pun mendakwa negara ini sebagai negara Islam, tetapi Karpal (DAP) tak bising - mengapa? Padahal “Malaysia negara Islam Mahathir ini” penuh dengan kezaliman, rasuah, kronisme, nepotisme, salahguna kuasa dan sebagainya. Manakala Negara Islam PAS (Kelantan) pula tidak ada segala kezaliman itu, tapi Karpal (DAP) bising. Mengapa? :) http://www.1234Money.org List of 'Get Paid To Surf programs Senarai program 'Dibayar Untuk Layari Internet' __________________________________________________________________ TheMail.com - Full featured premium email you can count on. Sign-up today at http://www.themail.com/ ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB) ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB) ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan ) ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net ) ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] ) ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Pengirim: [EMAIL PROTECTED]