KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan memperkenalkan 
sistem e-Pendaratan bagi memastikan semua bot nelayan mendaratkan 
hasil tangkapan di pangkalan atau pusat pendaratan ikan yang 
diwartakannya.

Pengarah LKIM Kelantan, Raslee Ismail, berkata langkah itu juga dapat 
membantu usaha membanteras penyelewengan dan penyalahgunaan skim 
subsidi diesel yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, menerusi sistem itu, LKIM dapat memantau pergerakan 
keluar masuk nelayan di samping memastikan nelayan mendaratkan ikan 
di pangkalan dan pusat pendaratan diwartakan.

"Ini selaras langkah kerajaan memperkenalkan skim subsidi harga 
diesel menerusi kad pintar e-Diesel mulai awal Januari lalu. Ketika 
ini Kelantan mempunyai empat pusat pendaratan ikan yang diwartakan 
iaitu di Tumpat, Semerak, Bachok dan Kedai Buloh. 

"Kita akan memperkenalkan sistem baru e-Pendaratan atau e-landing 
bagi bot nelayan tempatan di pangkalan atau pusat pendaratan ikan 
yang diwartakan di negeri ini," katanya pada sidang media di 
pejabatnya, semalam.

Raslee berkata, sejak subsidi diesel dikendalikan Persatuan Nelayan 
Kebangsaan (Nekmat) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dua bulan 
lalu, kerajaan dapat menyelamatkan hampir 12 juta liter diesel 
subsidi sebulan berbanding sistem kuota yang diamalkan sebelum ini.

Katanya, menerusi sistem kuota, kerajaan meluluskan 10 syarikat untuk 
membekalkan diesel subsidi kepada nelayan, termasuk persatuan nelayan 
seluruh negeri.

"Jumlah kuota 9.1 juta liter sentiasa habis setiap bulan, malah tidak 
cukup tetapi sejak pengendalian skim subsidi ini oleh Nekmat dan PNK, 
penggunaan diesel tidak mencecah tiga juta liter sebulan.

"Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam agihan diesel 
subsidi yang dikendalikan syarikat terbabit," katanya.//BH 10 Mac







 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke