Kota Bharu, 1 Disember - Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat 
mempunyai alasan yang mudah kenapa kerajaan negeri sanggup menjemput artis 
Barat seperti Yusof Islam: Untuk menunjukkan bahawa masih ada dalam kalangan 
artis yang berpegang kepada ajaran Islam walaupun kebanyakan mereka terkenal 
dengan pelbagai kemungkaran termasuk skandal wanita, dadah dan arak.
   
  "Ia juga untuk menunjukkan Islam tidak menutup langsung pintu hiburan asalkan 
ia tidak membawa kepada kelalaian dan lupa kepada tanggungjawab serta bebas 
daripada unsur-unsur negatif melalui pakaian, persembahan dan lirik lagu," 
katanya.
   
  Nik Abdul Aziz berkata selepas lebih 15 tahun memerintah negeri ini dan 
mengatasi pelbagai masalah, hanya kini kerajaan negeri dapat memberi tumpuan 
terhadap pendekatan baru yang lebih terbuka, terutama dalam isu hiburan bagi 
mendekati semua golongan terutama generasi muda.
   
  "Saya sendiri bukan nak menarik golongan muda (supaya menyokong PAS), tetapi 
hendak tunjuk nyanyian atau hiburan itu bukan 100 peratus haram. Jika mereka 
nak sokong, Alhamdulillah," katanya.
   
  Pada peringkat awal memegang tampuk pemerintahan Kelantan pada 1990, kerajaan 
PAS tidak membenarkan penganjuran hiburan seperti konsert kerana mengganggapnya 
sebagai melalaikan dan terdedah kepada maksiat. Perubahan pendirian mula 
berlaku tahun lepas apabila ia membenarkan persembahan konsert juara AF3 Mawi, 
dengan beberapa syarat tertentu.
   
  Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan 
Kesihatan negeri Takiyuddin Hassan berkata kebenaran kepada artis rock 
mengadakan persembahan tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan oleh 
kerajaan negeri menerusi Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.
   
  Antara syarat yang ditetapkan ialah tidak ada percampuran penonton lelaki dan 
perempuan, tidak ada percampuran artis lelaki dan wanita dan lagu yang 
bersesuaian, selain tidak mendedahkan aurat.
   
  Ia disusuli dengan dua konsert khas yang diadakan sempena ulang tahun pertama 
Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) sebagai Bandaraya Islam.
   
  Konsert pertama khusus untuk wanita pada 18 Nov lepas yang dinamakan Konsert 
Khas Wanita, berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) dan 
disertai artis Aishah, Salima, Edlin, Zila dan Karen.
   
  Sehari selepas itu, diadakan pula Konsert Terbuka Hotlink yang dibarisi artis 
seperti Mawi, Zahid, Hazama, Haziq, In-Team dan Raihan, yang diadakan di 
Stadium Sultan Mohamed Ke-IV.
   
  Sebelum ini, Mawi digunakan sebagai platform oleh kerajaan negeri yang 
mempunyai agenda yang lebih besar dalam mengawal bentuk hiburan di Kelantan 
walaupun menyedari Mawi merupakan produk program Akademi Fantasia, yang 
disifatkan sesetengah pihak bercanggah dengan syariat Islam.

 
---------------------------------
Check out the all-new Yahoo! Mail beta - Fire up a more powerful email and get 
things done faster.

Kirim email ke