KOTA BAHARU, 29 Nov -- Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 
mengakui bahawa sebagai gerakan Islam, PAS perlu mengadakan pelbagai 
bentuk program baru di negeri ini untuk terus menarik sokongan rakyat.

Gerakan Islam selama-lamanya akan terdesak dan sebagai hamba Allah 
s.w.t, mereka akan bangun dalam pelbagai cara bagi menghadapi cabaran 
yang mendatang, katanya ketika ditanya mengenai usaha kerajaan negeri 
membenarkan persembahan konsert termasuk menjemput artis Barat dan 
rock dalam konsert khas tahun depan.

Beliau berkata persembahan artis Barat atau rock dibenarkan asalkan 
tidak mengandungi unsur negatif melalui pakaian, persembahan dan 
lirik lagu.

Tindakan kerajaan negeri ini juga untuk menunjukkan Islam membenarkan 
umatnya berseronok kerana ia merupakan fitrah kejadian manusia tetapi 
perlu mengikut peraturan Islam, katanya kepada pemberita sebelum 
menyampaikan bantuan kepada seorang pelajar cacat untuk meneruskan 
pengajian di Universiti Al-Azhar di sini hari Rabu.

"Islam tidak menutup pintu langsung terhadap hiburan asalkan ia tidak 
membawa kepada kelalaian dan lupa kepada tanggungjawab," katanya.

Menjawab satu soalan, Nik Abdul Aziz berkata selepas lebih 15 tahun 
memerintah negeri ini dan mengatasi pelbagai masalah seperti tekanan 
politik, kewangan dan kempen jahat, baru kini kerajaan negeri dapat 
memberi tumpuan dan membuat pendekatan baru yang lebih terbuka 
terutama dalam isu hiburan bagi mendekati semua golongan termasuk 
generasi muda.

Katanya semasa mengambil alih Kelantan, PAS dibaratkan seperti benih 
pokok yang baru ditanam dan tidak semestinya ia terus berbuah.

Ini kerana parti menghadapi pelbagai jenis musuh daripada semua sudut 
sehingga sampai satu peringkat mereka kehabisan tenaga untuk 
mencetuskan benda baru, katanya.

"Sebahagian besar serangan telah dapat ditangkis dan sekarang mulai 
fikir benda baru. Saya sendiri bukan nak menarik golongan muda tetapi 
hendak tunjuk nyanyian (hiburan) itu bukan 100 peratus haram kerana 
ia juga sesuai dengan fitrah manusia," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar meminta supaya pengikut pertubuhan 
Rufaqa', yang didakwa cuba menghidupkan kumpulan Al-Arqam yang 
diharamkan pada 1994, kembali kepada ajaran Islam sebenar.//Bernama




Kirim email ke