Disko - Teruskan hasrat Kerajaan Kelantan
   
  Oleh : Lesco
  Hasrat terbaru Kerajaan Kelantan yang dianggap satu langkah yang berisiko dan 
berani muncul lagi. Akhbar tempatan melaporkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa 
Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Takiyuddin Hassan dan diperjelaskan 
dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan, TG Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat 
membayangkan hasrat Kerajaan Negeri membenarkan ‘Disko’ beroperasi di Kelantan.
   
  Sebelum ini Kerajaan Kelantan membuat kejutan dengan membenarkan kembali 
pelbagai bentuk hiburan dan permainan yang sebelum ini tidak dibenarkan di 
Kelantan sejak PAS mengambil alih teraju kepimpinan negeri pada 1990, malahan 
Kerajaan Negeri sendiri telah menganjurkan beberapa ‘konsert’ dengan membawa 
artis popular tempatan untuk mengadakan persembahan di Kelantan.
   
  Langkah ini sebagaimana terdahulu sudah pasti mendapat reaksi dari pelbagai 
pihak samada diterima baik atau sebaliknya samada dari kalangan masyarakat 
setempat dan penyokong serta kepimpinan parti PAS yang menerajui Kelantan 
sendiri malahan tidak kurang dari kalangan seteru politik.
   
  Adakah dengan membenarkan ‘Disko’ ini beroperasi di Kelantan bermakna 
Kerajaan Negeri telah mencemarkan imej Serambi Mekah dengan mengorbankan segala 
dasar dan panduan agama yang menjadi tulang belakang parti? Saya tidak pasti 
kenapakah hasrat seperti ini dibantah dan dihalang oleh sesetangah pihak 
sedangkan ia belum lagi dilaksanakan, mungkin kerana jolokan nama ‘Disko’ 
dengan dipengaruhi oleh yang sedia ada terutama Disko di Bangsar dan di Bukit 
Bintang yang selalu menjadi isu utama akbar tempatan. 
   
  Hasrat Kerajaan menganjurkan konsert sebelum ini juga dibantah oleh 
segelintir pihak termasuk dari kalangan pemimpin parti PAS sendiri, namun 
apabila ia berjaya dilaksanakan maka kebimbangan sebelum ini terurai malahan 
memuji langkah tersebut. 
   
  Tidak pelik sekiranya reaksi membantah ini datangnya dari musuh politik 
Kerajaan Negeri, namun agak mengecewakan sekiranya ia datang dari kelompok yang 
sama yang Islam menjadi dasar perjuangan. Bagi saya, ia satu langkah yang harus 
dipuji dan perlu dialu-alukan walau pun ia merupakan satu langkah yang kurang 
popular di kalangan sesetengah pihak, malahan hasrat ini juga sekiranya 
terlaksana maka saya harap ia masih lagi dalam ruang lingkup dan panduan syara’ 
dan sekiranya ada kelemahan seperti yang dibimbangkan oleh sesetangah pihak, ia 
hanyalah dari segi pelaksanaan dan pemantauan, bukan dasar yang diperkenalkan. 
   
  Saya amat berharap semoga pihak yang terlalu bimbang dengan konsep ‘Disko’ 
atau apa sahaja jenis hiburan yang ingin diperkenalkan oleh Kerajaan Kelantan 
ini, melihat secara jujur dan ikhlas dengan mengambil kira cara dan etika 
perlaksanaanya dan sejauh mana perancangan jangka pendek dan jangka panjang 
Kerajaan Negeri untuk memartabatkan  seni dan hiburan yang selari dengan 
kehendak Islam.
   
  Semua pihak seharusnya berganding bahu untuk menjayakan hasrat ini supaya 
menjadi kenyataan demi untuk mempamerkan kepada umum bahawa Islam ada caranya 
untuk berhibur, bukannya jumud seperti tanggapan sesetengah pihak, bukan dengan 
memporak- perandakan agenda Kerajaan Kelantan dengan membuat bantahan tanpa ada 
‘tokmakniknah’.
   
  Ali Hanafiah Mohamed
  AJK Perakan Malaysia
   

 __________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 

Kirim email ke