KOTA BHARU, 18 Jan – Sehari selepas mengumumkan menyumbang sebanyak 
RM1 juta bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Johor, hari ini cek 
bantuan itu diserahkan kerajaan Kelantan kepada Pengerusi Yayasan 
Amal Malaysia, Haji Hussin Ismail. 

Cek tersebut daripada Perbadanan Menteri Besar Kelantan diserahkan 
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada satu majlis ringkas 
diadakan pejabatnya di Kota Darulnaim pagi tadi. 

"Sudah menjadi tanggungjawab bagi sebuah kerajaan terutama yang 
menjadikan Islam sebagai dasar, membantu mereka yang sedang dalam 
kesusahan seperti mangsa banjir. 

"Walaupun hubungan kerajaan Kelantan dengan Johor tidaklah serapat 
mana, namun atas dasar persaudaraan dan perikemanusiaan kita sedia 
membantu mereka. Penderitaan dan kesusahan mangsa banjir kita faham 
kerana di sini hampir setiap tahun kita mengalaminya. 

"Bagaimanapun kita bersyukur tahun ini Kelantan tidak menghadapi 
banjir besar," katanya selepas penyerahan cek tersebut. 

Sebelum ini Kelantan menyumbang RM49,000 dan lima tan beras selain 
turut menghantar sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di Johor. 

Selain itu pada pagi 21 Januari ini juga akan diadakan program jamuan 
teh bagi memungut derma untuk membantu mangsa banjir di Johor 
diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV. 

Manakala rombongan rakyat Kelantan bagi membantu mangsa-mangsa banjir 
di negeri terbabit akan bertolak pagi esok yang dijangka dilepaskan 
Menteri Besar di JKR 10. Ia disertai 40 anggota. 

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berharap semua rakyat negeri ini tanpa 
mengira kaum, agama dan fahaman politik hadir beramai-ramai bagi 
menyumbangkan derma kepada tabung bantuan mangsa banjir.//Hrkh
 


Kirim email ke