KOTA BHARU, 22 Jan – Ribuan rakyat Kelantan menunaikan solat hajat 
malam tadi bagi memohon kepada Allah Taala diselamatkan rakyat Johor 
daripada bencana banjir yang berlaku di negeri terbabit. 

Solat hajat itu diimamkan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul 
Aziz Nik Mat, diadakan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV 
selepas solat Isya'. Sebelum itu Adun Demit, Ustaz Mohamed Daud 
mengimami solat Isya' berjemaah. 

Pada sebelah siang bermula jam 10 pagi diadakan jamuan minum teh bagi 
memungut derma untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Johor. Pada 
program pungutan derma yang diadakan selepas solat hajat sebanyak 
RM126,000 berjaya dikumpulkan. 

Menteri Besar menerima sumbangan itu. Antara yang turut menyumbang 
iaitu Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sebanyak 
RM50,000 dan anggota Exco kerajaan negeri Dato' Anuar Tan Abdullah 
dan Ustaz Mohd Amar Abdullah masing-masing RM5,000. 

Lebih mengejutkan apabila peniaga Cina antaranya Tan Boon Hin 
menyumbang RM10,000, Chen Siang Chua (RM10,000), Chen Siang Kia 
(RM5,000) dan Chua Bin Sin (RM5,000) manakala Syarikat Liziz Sendeco 
(RM10,000). 

Badan Perhubungan PAS Kelantan menyumbang sebanyak RM10,000 dan Dewan 
Pemuda PAS Pengkalan Chepa (RM5,000) dan Dewan Pemuda PAS Kota Bharu 
(RM1,000). 

Hadir sama pada program itu anggota-anggota Exco, Dato' Husam Musa, 
Takiyuddin Hassan, wakil-wakil rakyat dan pemimpin masyarakat 
daripada pelbagai kaum. 

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, semua pihak perlu tampil bagi 
membantu orang yang susah lebih-lebih lagi ditimpa bencana tanpa 
mengira fahaman kaum dan politik. 

"Sebagaimana juga berlaku tsunami di Aceh, kita bantu dan hantar 
sukarelawan bagi membantu orang Islam yang terlibat dengan bencana," 
katanya sambil mengingatkan umat Islam tidak bercakap angkuh dan 
sombong. 

Minggu lalu kerajaan Kelantan menyumbang sebanyak RM1 juta bagi 
membantu mangsa-mangsa banjir di Johor yang diagih melalui Yayasan 
Amal Malaysia. 

Selain itu Badan Perhubungan PAS Kelantan pernah menyumbang sebanyak 
RM49,000 dan beras lima tan ketika banjir pusingan pertama 
berlaku.//Hrkh 
 


Kirim email ke