Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh,

Dibawah adalah  tulisan Ustaz Mohd. Nakhaie Haji Ahmad. Saya telah membuat
beberapa pindaan kecil agar melancarkan fahaman. Itu sahaja. Apabila
mentela'ah makalah ini teringat akan pepatah Minang yang unggul itu, yakni,
Alam takambang menjadi guru.

*Tajdid Sebagai Strategi Dakwah*

*Oleh: Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad.
YDP YADIM

Kertas kerja ini dibentangkan di Kursus Kepimpinan Perdana di Malaysian
Hall, Abbasiah, Kaherah pada 15 & 16 November 2005.*

Perubahan adalah sunnatullah, yakni peraturan dan hukum perjalanan alam yang
dicipta oleh Allah s.w.t. mengikut kuasa dan kehendakNya Yang Maha Suci.
Alam dan semua perkara yang terdapat di dalamnya, sentiasa terdedah kepada
perubahan. Tetapi, apakah yang berubah dan bagaimana perubahan itu berlaku?
Tentunya, dengan adanya kepelbagaian dalam alam ciptaan Allah s.w.t. ini,
tidak mungkin kita memberikan jawapan menyeluruh kepada persoalan ini. Dalam
hubungan ini, saya hanya akan menumpukan kepada perubahan yang berlaku
dalamagama Islam dan beragama, yakni dalam aspek yang melibatkan
interaksi antara
pemeluk agama Islam dengan ajaran-ajaran Islam yang terdapat di dalam
al-Quran dan Sunnah.

*Perubahan dalam agama.*

Yang amat nyata di dalam agama Allah s.w.t. sejak Adam sehingga rasul
terakhir iaitu Nabi Muhmmad s.a.w., ialah perubahan yang belaku dalam
syari’at yang diturunkan kepada nabi-nabi dan rasul-rasul yang diutus.
Tetapi tidak berlaku perubahan agama dalam aspek akidah di mana semua
nabi-nabi dan rasul-rasul membawa risalah tauhid dan mengajak manusia supaya
beribadah kepada Tuhan Yang Satu. Hanya di dalam syariat, berlaku perubahan
yang nyata. Syariat yang diturunkan kepada rasul-rasul itu tidak sama dan
berubah-ubah di kalangan rasul-rasul itu.

Satu lagi dimensi yang perlu diperhatikan, terdapat hubung-kait antara agama
Islam dan hukum-hukum yang terdapat di dalamnya, dengan sunnatullah yang
merupakan hukum-hukum dan peraturan yang menguasai perjalanan semulajadi
dalam alam ini. Tetapi, hukum-hukum yang terkandung di dalam sunnatullah
tidak berubah. ولن تجــد لســنة اللـه تبــديلا ( Kamu tidak akan dapati
pergantian bagi sunnatullah itu) Bagaimana pun, hukum-hukum Allah s.w.t
dalam sunnatullah itu, walaupun tidak berubah, tetapi boleh disusun semula,
menerusi keupayaan yang diberikan oleh Allah s.w.t. dalam ilmu pengetahuan.
Bahan-bahan yang terdapat di dalam alam ini, boleh disusun semua, umpamanya
disusun kadarnya, dikaji dan difahami susunan DNA dan disusun kembali
susunannya. Bahan-bahan yang disusun berubah menjadi benda baru. Bahan-bahan
dan unsur-unsur yang terdapat di dalam alam ini boleh dicerakinkan dan
disusun kembali bagi menghasilkan benda yang baru. Ini juga menjadi
sebahagian daripada sunnatullah. Alam ini, ditentukan oleh Allah sebagai
sesuatu yang boleh difahami dan diolah kembali. Ia boleh dibangunkan dan
dikembangkan dengan pengetahuan dan usaha gigih manusia. Keadaan alam
seperti itu, membolehkan ia dibangunkan. Sedangkan pembangunan bumi ini
menjadi salah satu tugas manusia sebagai khalifah.

Realiti yang disebutkan itu, menunjukkan betapa pentingnya perubahan. Oleh
kerana perubahan adalah penting, manusia mesti menanganinya dan mengurus
perubahan itu dengan bijaksana. Dalam hal yang melibatkan agama dan
beragama, terdapat dimensi agama dan beragama yang tetap dan yang berubah
atau berkembang. Ajaran agama yang berkaitan dengan keimanan terhadap
kewujudan Allah Yang Maha Esa, terdapat di dalam, dimensi tetap dan dimensi
yang berubah dan berkembang. Kemestian beriman kepada wujudnya Allah Yang
Maha Esa, tidak berubah. Tetapi keyakinan terhadap kewujudan itu berubah.
Sebagaimana saranan di dalam ilmu Tauhid, bahawa iman itu bertambah dan
berkurang. Namun apa jua status keimanan itu, kemestian beriman kepada Allah
adalah suatu yang tetap dan tidak berubah.

Di dalam contoh yang disebutkan tadi, kemestian beriman kepada Allah itu
adalah merupakan dimensi agama yang tidak berubah-ubah dan tetap sebagaimana
yang dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran. Tetapi keyakinan manusia
terhadap ajaran mengenai kewujudan Tuhan itu adalah dimensi beragama yang
terdedah kepada perubahan. Sama ada perubahan itu terarah menuju kekuatan
iman atau kekurangannya.

*Agama dan Beragama*

Agama dan beragama, merupakan realiti yang berlainan, tetapi mempunyai
hubung-kait yang sangat erat. *Agama Islam ialah ajaran yang diwahyukan
kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah
baginda yang sahih. Tiada sesiapa pun yang boleh membuat pindaan atau
perubahan ke atas ajaran tersebut. Sesuatu rekaan dan ciptaan yang dilakukan
ke atas al-Quran dan Sunnah yang bukan daripadanya adalah ditolak. من أحــدث
في أمـرنا هذا ما ليس منــه فهــو رد ( Sesiapa yang mencipta dalam perkara
kami ini yang bukan daripadanya, adalah ditolak) فويل للذين يكتبون الكتاب
بأيديهم ثم يقولون هـذا من عند الله ليشتروا به ثمنا قليلا فويل لهم مما كتبت
أيديهم وويل لهم مما يكســبون ( Maka malanglah bagi mereka yang menulis kitab
dengan tangan mereka,kemudian mereka berkata ini adalah daripada Allah,
untuk mereka menjualnya dengan harga yang murah dan membawa malang kepada
mereka daripada apa yang mereka tuliskan itu dan daripada apa yang mereka
perolehi daripadanya.)

Kita tidak berhak untuk mengubah dan meminda karangan orang daripada
mana-mana buku sekalipun, supaya sesuai dengan kehendak kita. Apa lagi untuk
meminda atau menokok tambah wahyu yang diturnkan oleh Allah kepada rasul-Nya
atau meminda apa yang telah sah bagi perbuatan, perkataan dan pengakuan Nabi
atau Sunnah baginda, untuk disesuaikan dengan kehendak dan pemikiran kita.

Tetapi beragama dengan agama itu merupakan dimensi lain, yakni dimensi
hubungan dan interaksi manusia dengan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam
ajaran-ajaran yang terdapat dalam agama itu. Bagaimanakah manusia memahami
ajaran-ajaran yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah dan bagaimana
mereka menghayatinya dalam kehidupan mereka mengikut arahan-arahan yang
terkandung di dalamnya sebagaimana yang difahami oleh mereka. Inilah dimensi
beragama yang melibatkan kerja manusia yang ditaklifkan oleh Allah s.w.t.
mengikut keupayaan. لايكلف الله نفسـا إلا وســعها (Allah tidak mentaklifkan
ke atas seseorang melainkan mengikut keupayaannya.)

Oleh kerana tahap keilmuan manusia tidak sama dan kaedah serta manhaj bagi
memahami ajaran-ajaran al-Quran juga turut berbeza, maka kefahaman manusia
terhadap ajaran-ajaran itu mungkin berbeza. Bahkan, kemungkinan kefahaman
itu, mungkin jelas untuk sesuatu zaman dan tidak sesuai dengan zaman yang
lain. Justeru, dimensi beragama, bukanlah sesuatu yang tetap buat
selama-lamanya. Ia terdedah kepada perubahan. Bahkan ia memerlukan
perubahan.

Dimensi beragama, tidak memiliki sifat kesucian. Tidak sebagaimana status
al-Quran dan Sunnah yang sahih. Justeru, kefahaman mengenai nas itu,
terdedah kepada pembaharuan dan dibuat penyesuaian selaras dengan perubahan
tempat dan zaman untuk memelihara masalah dan tujuan-tujuan syari’at.
Bagaimana pun, keperluan pemahaman dan pembaharuan kepada ilmu pengetahuan
adalah suatu yang suci yang tidak boleh diubah atau dipinda. Ini ialah
kerana keperluan tersebut ditentukan oleh agama yang meletakkanya pada
status kesucian, walaupun keilmuan manusia itu tidak mutlak. Namun, ia
diterima sebagai separa mutlak, jika sesuatu kefahaman terhada nas yang
berdasarkan ilmu itu mencapai tahap ijmak di kalangan para ilmuwan mujtahid.
Memang benar bahawa agama itu sesuatu yang sempurna, tetapi
ketidak-kesempurnaan dalam beragama adalah sesuatu yang lumrah bagi manusia,
Tetapi ketidak-sempurnaan itu sentiasa diimbangi oleh keampunan Allah s.w.t.


Sifat-sifat integriti sebagai ilmuwan, perlu ada bagi membina kefahaman
lebih kukuh mengenai nas itu sehingga mampu menempatkan dimensi beragama itu
berada dalam keadaan mantap. Membina sifat-sifat itu bukan di luar jangkauan
manusia, jika ia tidak dikuasai hawa nafsu. Kekuatan iman, ilmu dan
mujahadah di dalam pembinaan dan pembentukan sifat-sifat kemuliaan sebagai
ilmuwan, adalah seseuatu yang tidak boleh diabaikan oleh setiap ilmuwan.
Bahkan untuk mencapai tahap keintelektualan yang tinggi sebagai ilmuwan
Islam, seseorang mestilah memiliki integriti yang dimiliki oleh para ulul
al-bab. Mereka mestilah seorang yang mematuhi perjanjian dengan Allah s.w.

*Agama, beragama dan budaya  *

Dimensi beragama yang terpancar daripada ajaran agama, dengan apa jua tahap
kefahamannya dan diamalkan oleh masyarakat yang menerimanya sehingga menjadi
sebati dalam kehidupan masyarakat itu, pastinya menjadi budaya masyarakat
itu. Dengan perkataan lain, ajaran agama sebagaimana yang difahami oleh
sesuatu masyarakat dan mengamalkannya sehinggi menjadi sebati dengan
kehidupan masyarakat itu, telah membentuk atau mempengaruhi corak budaya
masyarakat itu.

Tetapi, Islam tidak muncul di dalam persekitaran yang bebas budaya. Di
semenanjung Arabia, di mana Islam itu diturunkan, masyarakat Arab telah
memiliki suatu budaya yang dinamakan dalam Islam sebagai budaya jahiliah. Di
dunia Melayu, sebelum kedatangan Islam, telah wujud budaya yang dipengaruhi
ajaran agama Hundu dan animism. Dalam dunia Melayu, ini kehidupan
masyarakatnya dibentuk oleh bentuk beragama dan warisan budaya masyarakat
Melayu. Kehidupan masyarakat Melayu dibentuk berdasarkan kepada bagaimana
masyarakat ini berinteraksi dengan ajaran al-Quran dan Sunnah dan diwaktu
yang sama pembentukan itu turut dipengaruhi oleh warisan budaya yang masih
diamalkan dalam masyarakat tersebut.

Faktor budaya turut memainkan peranan penting dalam mencorak kehidupan
beragama di rantau ini. Dengan perkataan lain, kehidupan umat Islam di alam
Melayu, tidak hanya dibentuk oleh kekuatan bergama, tetapi juga oleh
pengaruh budaya yang diwarisi di zaman Hindu dan anamisme. Kita juga tidak
harus lupa bahawa akibat kekalahan di tangan penjajah Barat, dan dinamika
budaya itu sendiri, maka budaya Barat turut memainkan peranan dalam mencorak
kehidupan masyarakat Islam di seluruh dunia.

Ajaran Islam yang telah dibudayakan dalam kehidupan orang Melayu, bercampur
baur dengan amalan budaya warisan yang masih dihayati dalam kehidupan
orang-orang Melayu, dan pengaruh budaya lain yang turut diterima dalam
kehidupan orang-orang Melayu, pembentuk sebenar acuan kebudayaan bangsa
Melayu.

  *Tajdid Sebagai Strategi*

Bagi mengatur strategi dakwah yang berkesan, perancang dakwah mestilah
memahami latarbelakang budaya orang-orang Melayu seperti ini. Tujuan dakwah
di kalangan orang-orang Melayu yang telah pun beragama Islam, semestinya
berlainan dengan tujuan berdakwah di kalangan orang-orang Cina yang belum
menganut agama Islam. Bagaimana pun latarbelakang budaya mereka perlu
difahami untuk mengembangkan dakwah di kalangan mereka.

Tujuan dakwah di kalangan orang-orang Melayu ialah untuk mengukuhkan
kefahaman dan penghayatan mereka terhadap ajaran Islam. Sehingga mereka
menjadi tonggak kepada perjuangan Islam di negara kita. Oleh kerana
kedudukan orang Melayu sekarang ini adalah tonggak kekuatan politik negara
kita, pegangan dan penghayatan yang kuat terhadap Islam di kalangan mereka,
akan mempengaruhi dasar-dasar negara dan akan menentukan hala-tuju negara ke
arah pembangunan yang berteraskan Islam.

Latarbelakang budaya masyarakat Melayu, dan bentuk budaya bangsa Melayu
seperti yang ada sekarang ini perlukan kepada perubahan. Perubahan yang
pengaruhi dan digerakkan oleh dakwah, pastinya akan memberi kesan ke arah
mengukuhkan nilai-nilai Islam yang akan menjadi teras kepada pembentukan
peribadi dan jatidiri orang-orang Melayu.

*Untuk itu, gerakan dakwah perlu menggerakkan tajdid dan pembaharuan dalam
beragama di kalangan orang-orang Melayu supaya mereka beragama secara lebih
dinamik dan sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa. Sebagaimana yang
telah ditegaskan bahawa beragama, bukanlah mempunyai kesucian sebagaimana
yang terdapat di dalam agama itu sendiri. Walaupun di dalam menilai sesuatu
bentuk penghayatan beragama itu, perlu dilaksnakan dengan berhati-hati dan
menghormati ilmu sebagai sesuatu yang memiliki nilai-nilai kesucian, namun
tajdid di dalam beragama dan perubahan di dalamnya perlu dilakukan bagi
mengekalkan dinamika beragama itu.*

Kefahaman terhadap ajaran agama tidak boleh diterima sebagai sesuatu yang
telah ditinkan (di kalingkan-pen) dan sedia untuk dimasak dan dimakan.
Dinamika dalam pemahaman agama, ialah bahawa agama diterima sebagai cahaya,
yang makin jauh, makin luas pancaran cahayanya. Ia hendak diterima dan
difahami sebagai petunjuk yang memberi cahaya penyelesaian kepada semua
masalah kehidupan yang sentiasa berubah dan berkembang. Kita seharusnya
memahami dengan mendalam persoalan semasa yang tidak selamanya sama dengan
persoalan zaman dahulu, dan mencari petunjuk untuk penyelsaian persoalan
semasa itu, mengikut kaedah dan cara yang mapan dengan persoalan masa kini
yang dihadapi. Sudah tentulah sukar bagi kita menyelesaikan isu pemindahan
organ, sekiranya kita merujuk kepada kaaedah kefahaman di zaman Imam
al-Syafie yang belum berhadapan dengan masalah seperti itu, berdasarkan
kepada kemajuan sains di zaman ini. Dalam hal ini kefahaman mengenai
petunjuk agama memerlukan perubahan bagi menangani isu pemindahan organ. Ini
hanyalah satu daripada contoh-contoh di mana pendekatan bagi menghayati
petunjuk agama itu memerlukan perubahan.

Bagi menggerakkan tajdid yang berkesan, penyelidikan dan pembangunan adalah
sangat diperlukan supaya sesuatu persoalan difahami secara mendalam dan
kajian mengenai penyelesiannya dianalisa secara menyeluruh supaya isu yang
berkaitan dapat dicari penyeesaiannya secara berkesan.

*Pendakwah di zaman ini tidak lagi mapan dengan hanya kebolehan berpidato
atau berceramah. Tetapi pendakwah zaman ini adalah penyelidik dan penggerak
kepada penyelesaian masalah semasa secara praktis. Ia memerlukan kemahiran
dan kebijaksanaan sebagai pendakwah dan sekali-gus penyumbang kepada
pembinaan tamadun yang dibentuk berasaskan acuan Islam.*
   http://www.mindamadani.my/content/view/156/2/

-- 
.
Posting yang berasal dari Palanta RantauNet ini, jika dipublikasikan di tempat 
lain wajib mencantumkan sumbernya: ~dari Palanta r...@ntaunet 
http://groups.google.com/group/RantauNet/~
===========================================================
UNTUK DIPERHATIKAN, melanggar akan dimoderasi:
- DILARANG:
  1. E-mail besar dari 200KB;
  2. E-mail attachment, tawarkan di sini dan kirim melalui jalur pribadi; 
  3. One Liner.
- Anggota WAJIB mematuhi peraturan serta mengirim biodata! Lihat di: 
http://groups.google.com/group/RantauNet/web/peraturan-rantaunet
- Tulis Nama, Umur dan Lokasi pada setiap posting
- Hapus footer dan seluruh bagian tidak perlu dalam melakukan reply
- Untuk topik/subjek baru buat e-mail baru, tidak me-reply e-mail lama dan 
mengganti subjeknya.
===========================================================
Berhenti, bergabung kembali serta ingin mengubah konfigurasi/setting-an 
keanggotaan di: http://groups.google.com/group/RantauNet/subscribe.

Kirim email ke