Ke mana Arah Tuju Pelarian Rohingya di Malaysia?www.drazwan.blogspot.com




 
Salam,



Pelarian Rohingya ke Malaysia perlu mendapat perhatian ramai
terutama pihak berwajib. Secara amnya pelarian Rohingya adalah pelarian
politik di bawah naungan UNHCR. Mereka adalah kumpulan etnik minoriti
Myanmar yang beragama Islam dan ditindas di sana. Jumlah populasi
mereka adalah sebanyak 2 juta orang dan tinggal berhampiran dengan
sempadan Myanmar-Bangladeh.



Pada tahun 1982, Kerajaan Myanmar telah melucutkan kewarganegaraan
etnik Rohingya menjadikan mereka pelarian di negara sendiri. Hak mereka
sebagai rakyat Myanmar telah dirampas, mereka tidak dibenarkan keluar
daripada penempatan mereka, tanah dirampas, tidak dibenarkan
mengamalkan agama mereka secara bebas dan ada yang ditangkap. Akibat
daripada tekanan yang semakin meningkat, kebanyakan daripada mereka
melarikan diri ke Malaysia, sempadan Thailand, Bangladesh, negara Arab
dan Eropah. Sekiranya mereka pulang semula ke Myanmar, mereka boleh
ditembak dan ditangkap.



Di Malaysia, status pelarian tidak melayakkan mereka menerima
kewarganegaraan dan mendapat layanan kesihatan di Hospital dan klinik.
Sedangkan
ada di antara mereka mempunyai masalah kesihatan yang serius. Di dalam
beberapa klinik amal yang Biro Kesihatan ABIM adakan, masalah
kebersihan, jangkitan kulat, kudis buta dan kutu juga tinggi. Ini
disebabkan oleh tempat tinggal mereka yang jauh daripada keperluan
asas. Malah terdapat juga di antara mereka yang menderita penyakit
kronik seperti darah tinggi dan kencing manis, jangkitan seperti TB,
HIV dan AIDS tidak menerima rawatan kerana mempunyai masalah kewangan.



Dari segi kelahiran, saya dapati mereka mempunyai kadar kelahiran
yang sangat tinggi. Mereka tidak mengamalkan perancangan keluarga
kerana rata-rata mereka mempunyai pendidikan yang rendah. Bayangkan
setiap keluarga yang daif ini mempunyai 6 orang anak pada usia yang
sangat muda. Malah kadar kelahiran ini akan terus meningkat. Jika ia
tidak dikawal, populasi mereka akan menjadi tersangat besar sedangkan
taraf hidup mereka masih lagi berada di takuk yang lama.



Kehidupan kanak-kanak Islam Rohingya amatlah daif. Mereka ini boleh 
dikategorikan sebagai taraf fakir. Kehidupan seperti kais pagi makan pagi dan 
kais petang makan petang. Ada yang terdiri daripada anak-anak yatim piatu 
mengharapkan belas sedekah bagi menampung keperluan harian.  



Menurut perangkaan dari pihak UNHCR,dianggarkan
terdapat lebih dari 16,000 orang pelarian Rohingya kini telah mendaftar
dengan pihak UNHCR sementara dianggarkan kira-kira 3,000 orang lagi
masih belum mendaftar. Sebahagian besar pelarian ini berada di Lembah
Kelang dengan tumpuan utama dikawasan sekitar Ampang.



Ada di antara mereka hidup di bawah jambatan, bekerja di pasar
borong, mengemis dan tinggal di tapak-tapak binaan. Tidak ramai yang
boleh menampung kehidupan mereka sehari-harian. Mereka ini akhirnya
akan menjadi duri di dalam masyarakat dan akan menyumbang kepada
statistik peminta sedekah, kejadian kecurian dan rompakan dan pelacuran
di Malaysia. Dan yang sedihnya mereka ini adalah saudara se-Islam kita.



Terdapat sebuah sekolah komuniti yang menempatkan khusus untuk
kanak-kanak Rohingya terletak di Kg Cheras Baru. Sekolah ini mendapat
bantuan daripada Yayasan al-Khalifah yang juga menyelia beberapa rumah
anak yatim di seluruh Malaysia, dengan kerjasama Malaysian Relief
Agency (MRA) dan ABIM.



Sekolah ini merupakan kedai 3 tingkat yang disewa untuk menempatkan
mereka, dan guru-guru dibayar untuk mengajar anak-anak ini supaya
mereka boleh mendapatkan pelajaran dengan harapan mereka boleh menjadi
Umat Islam yang berguna suatu hari nanti. Yayasan Khalifah, MRA dan
ABIM membayar lebih kurang RM 5000-7000 sebulan bagi membayar guru,
peralatan mengajar dan menyewa kedai tersebut untuk kegunaan anak-anak
pelarian ini.



Walaupun menjadi satu kesukaran untuk menjalankan tugas ini kerana
kewangan yang sempit, ia perlu dilakukan bagi maslahah ummat. Sekiranya
tidak dilakukan, mereka ini akan hidup melarat dan mengundang masalah
sosial kepada kehidupan kita. Diharapkan sekiranya mereka dididik
dengan sempurna, mereka akan menyumbang kepada masyarakat Malaysia ke
arah yang lebih positif.



Justeru, pihak ABIM dan MRA memerlukan bantuan daripada pelbagai
pihak tidak kira dari bidang swasta mahupun kerajaan untuk sama-sama
berusaha membantu dari sudut tenaga, material, kewangan mahupun khidmat
nasihat bagi menggemblengkan usaha meningkatkan kualiti kehidupan
masyarakat pelarian Rohingya Islam ini bagi manfaat bersama.
InsyaAllah.



Wallahu Alam.



Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin,

www.drazwan.blogspot.com
Setiausa, Biro Kesihatan ABIM,

Exco Latihan dan Sukarelawan, MRA.




 



  






      

Kirim email ke