(on suria .fke.utm.my)

aliasm.vcf was scanned by Interscan Viruswall on suria.fke.utm.my and no virus found.
------------------------------------------------------------------------
Pengalaman Manis di Kursus Bina Negara

Setelah lima hari empat malam berkurung di Kem Bina Negara Meru Klang saya benar-benar 
dapat
merasakan bagaimana kebimbangan yang amat sangat pihak yang cenderung kepada parti 
UMNO dari
kehilangan kuasa.

Dengan menggunakan nama Melayu kami ditakut-takutkan akan kehilangan segala-galanya 
kalau
Melayu atau khususnya parti UMNO tidak berkuasa lagi.

Walaupun kerajaan BN sendiri telah membuat dasar dan peraturan supaya pensyarah tidak
terlibat dengan politik, tetapi pada pengamatan saya selama berada di Kem Bina Negara 
kami
seperti dijemput untuk terlibat sama dengan percaturan politik negara.

Mungkin untuk jangka pendek taktik menakut-nakutkan yang digunakan oleh kerajaan BN 
ini dapat
meraih simpati orang-orang Melayu untuk tidak memberi undi kepada pembangkang, tetapi 
untuk
jangka masa yang panjang negara kita tidak akan mendapat apa-apa manafaat darinya.

Saya dapat merasakan kursus seperti ini akan menanamkan rasa tidak senang dan curiga 
di hati
kita terhadap kaum-kaum lain yang ada di negara ini.

Kadang-kadang terasa pelik juga, di waktu pemimpin-pemimpin kita berucap dan bercakap
perlunya kepada hidup bersatu padu antara kaum tetapi dalam pada waktu yang sama
kursus-kursus yang melebarkan jurang antara kaum terus digalakkan.

Kita tidak boleh selamanya menyalahkan sejarah silam kerana kehadiran kaum Cina dan 
India ke
negara ini. Samada kita mahu atau tidak kita kena berpijak di bumi nyata, kena terima 
hakikat
kaum Cina dan India adalah juga sebahagian dari rakyat di negara ini.

Apapun terjadi, susah dan senang kita terpaksa hidup bersama-sama mereka juga. Kita 
boleh
bersikap tidak peduli antara satu kaum dengan kaum yang lain kiranya kita dapat 
membahagikan
negara ini kepada tiga negara mengikut kaum-kaum tersebut seperti yang pernah berlaku 
kepada
India dan Pakistan. Tetapi membahagikan negara ini kepada tiga negara yang berasingan
bukanlah pilihan yang kita semua kehendaki.

Kalau kita mahu hidup bersama di bawah satu negara, mahu tidak mahu semua kaum mestilah
secara bersama dan bersungguh-sungguh memikirkan halatuju negara. Kita tidak boleh 
bertindak
secara berasingan yang akan menyebabkan tindak tanduk kita akan dipandang serong dan 
curiga
oleh kaum yang lain.

Satu kerugian yang besar jika kursus-kursus Bina Negara yang diadakan ini bukan untuk 
tujuan
pembinaan negara tetapi lebih kepada pembinaan Melayu yang hasilnya setiap orang 
Melayu yang
melalui kursus ini berasa seperti terancam oleh rakan-rakan mereka dari kaum lain.

Di kursus ini semangat kita dibakar untuk mempertahankan kekuasaan Melayu, 
memperkukuhkan
perpaduan Melayu, tolong Melayu, sokong Melayu dan macam-macam Melayu lagi.

Saya tidak fikir adanya orang Melayu kita yang menyokong dan memberi tepukan kepada 
Taufik
Hidayat ketika beliau menentang Wong Choong Han dalam pertandingan badminton Piala 
Thomas
bulan Mei lepas walaupun kita tahu Taufik Hidayat itu orang Melayu.

Saya juga tidak fikir Goh Chock Tong dapat menebalkan mukanya jika dilihat oleh 
pelancung
asing rakyatnya yang terdiri dari Ahmad, Abu, Ali dan lain-lainnya memenuhi kaki-kaki 
lima di
Bandar Singapura yang indah dan maju itu dengan meminta sedekah. Malah Goh Chock Tong 
berasa
megah untuk berkata taraf kehidupan orang Melayu di Singapura lebih baik dari 
kebanyakan
orang Melayu di Malaysia.

Untuk memilih pemimpin yang terbaik di kalangan kita, tidak  ada cara yang terbaik 
selain
dari cara demokrasi. Sistem demokrasi dapat menjamin peralihan kuasa dapat berlaku 
secara
aman tanpa kekerasan selain itu ia dapat menjamin hanya pemimpin yang terbaik sahaja 
dapat
menjadi pemimpin.

Tetapi apabila amalan demokrasi sebenar telah dinoda dan diubahsuai oleh pemimpin yang
berkuasa mengikut kepentingan mereka maka jadilah demokrasi itu sebagai alat untuk 
menjamin
pemimpin yang memerintah untuk terus berkuasa, bukan lagi sebagai alat yang membolehkan
pemimpin yang terbaik mendapat peluang menjadi pemimpin seperti mana yang sepatutnya.

Kita tidak nafikan adanya parti politik yang menggunakan agama untuk meraih sokongan
pengundi. Bukan sahaja dalam parti politik, malah ada juga orang menggunakan agama 
untuk
menipu orang untuk memperkayakan diri mereka, ada juga yang menggunakan agama untuk 
mendapat
kedudukan dan pangkat. Perbuatan menyalahgunakan agama untuk kepentingan diri amat 
dicela
oleh Islam.

Penyebab utama sokongan orang Melayu kepada parti PAS pada pilihanraya 1999 bukanlah 
kerana
penggunaan agama oleh parti itu tetapi tindak tanduk dan beberapa kelemahan UMNO di 
masa itu
telah tidak disenangi oleh orang-orang Melayu sendiri dan mereka telah tunjukkan 
kemarahan
mereka itu dengan memberi undi kepada PAS.

 Padahal sebelum itu PAS seperti parti yang tidak dapat bernafas walaupun  kerajaan di 
waktu
itu lebih liberal di mana ceramah PAS dan akhbarnya jauh lebih bebas berbanding 
sekarang.

Ini menunjukkan kekuatan PAS bukanlah kerana penggunaan agama tetapi kerana UMNO telah 
banyak
buat silap.

Orang yang berkuasa selalunya tidak dapat menerima kelemahan mereka, mereka sentiasa
menganggap diri mereka sentiasa betul dan mereka saja yang boleh memerintah. Dalam
keghairahan untuk mengekalkan kekuasaan dan tidak dapat menerima kekalahan inilah
amalan-amalan demokrasi selalunya dicabuli supaya kemenangan sentiasa berpihak kepada 
mereka.

Cabaran ke tiga Wawasan 2020 secara jelas menyebutkan , mewujudkan dan membangunkan
masyarakat demokratik yang matang. Tetapi apakah usaha-usaha yang telah dibuat oleh 
kerajaan
untuk mendidik rakyat memahami dan menghayati amalan demokrasi. Malah 
pemimpin-pemimpin kita
sendiri pun tidak pernah menunjukkan kematangan berpolitik. Di satu ketika Hang Tuah 
tidak
sanggup membunuh Hang Jebat yang tidak berkeris walaupun Hang Jebat telah menyerahkan 
dirinya
kepada Hang Tuah. Begitulah kematangan pahlawan-pahlawan Melayu. Mereka lebih rela 
kalah
dibunuh oleh musuh dari membunuh musuh yang tidak bersenjata.

Penggunaan jentera kerajaan oleh parti pemerintah untuk kempen parti mereka, menyekat
parti-parti pembangkang untuk berkempen melalui media-media perdana, menyekat 
ceramah-ceramah
dan akhbar-akhbar parti pembangkang adalah merupakan contoh-contoh tindakan yang 
bertentangan
dengan akhlak demokrasi itu sendiri. Di manakah wujudnya keadilan dalam satu 
pertandingan
jika kita berlawan dengan musuh yang telah diikat kakitangannya.

Selama pemimpin kita sekarang ini bertindak wajar, mungkin rakyat tidak menghadapi 
apa-apa
masalah. Tetapi jika tiba-tiba pemimpin yang memerintah bertindak di luar kewajaran, 
sudah
tentu di waktu itu kita tidak ada peluang lagi untuk menukar pemimpin tersebut kerana 
semua
sistem demokrasi yang ada telah diubah suai bagi mengekalkan kuasa beliau untuk 
selamanya.

Kita tidak mahu menjadi seperti rakyat Soviet Union pada masa dulu dan rakyat 
Singapura pada
hari ini di mana demokrasi hanya tinggal menjadi lambang. Akhirnya rakyat mereka hidup
seperti robot yang segala kehidupan mereka telah diprogramkan oleh pemerintah.

Pemimpin yang mementingkan ras dan tidak mengambil peduli kaum lain selain kaumnya 
sendiri
adalah pemimpin yang tidak baik. Serb dan Israel adalah contoh bangsa yang telah 
dipulaukan
oleh dunia hari ini kerana ketaksuban mereka kepada bangsa mereka. Tidak mungkin kita 
boleh
hidup aman damai bersama dengan bangsa yang mempunyai pemikiran seperti Serb dan 
Israel ini.

Di dalam sistem demokrasi tulin pemimpin yang tidak baik tidak akan dapat peluang untuk
dipilih menjadi pemimpin. Sebaliknya pemimpin yang terbaik tidak kira dia berbangsa 
apa pun
akan tetap terpilih menjadi pemimpin kita.

Pemimpin seperti Lee Lam Thye, Nik Aziz Nik Mat, Mahatma Ghandi, Abraham Lincoln adalah
contoh-contoh pemimpin yang memiliki sifat luhur dan perikemanusiaan yang tinggi. 
Mereka
adalah pemimpin yang dikasihi oleh pengikutnya tanpa mengira kaum. Mereka adalah contoh
pemimpin yang dapat melepasi sempadan kaumnya sendiri. Setiap kaum yang berada di bawah
kepimpinan mereka ini akan terus berasa selamat dan hak mereka dijaga dan dihormati. 
Pemimpin
yang mempunyai kualiti seperti inilah yang kita kehendaki untuk memimpin negara seperti
Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum ini.

Hanya sistem demokrasi tulin sahaja yang dapat menjamin orang yang mempunyai kualiti 
yang
disebutkan di atas berpeluang untuk dipilih menjadi pemimpin negara kita ini. Oleh itu 
demi
kebaikan masa depan negara kita adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk 
memastikan
demokrasi yang kita amalkan ini tidak dicabuli oleh sesiapa pun.

Mempertahankan kepimpinan Melayu di abad ke 21 ini bukanlah menjadi perkara yang lebih 
utama
kepada kita semua. Tetapi yang patut sentiasa menjadi keutamaan kepada kita rakyat 
Malaysia
hari ini ialah mempertahankan hak-hak demokrasi yang sebenar, tidak membenarkan 
demokrasi
diubah mengikut selera pemerintah. Kerana inilah satu-satunya mekanisma terbaik untuk
melahirkan pemimpin terbaik untuk negara kita.

Kalau kita benar-benar sayangkan negara kita, bangsa kita, hak kita maka peliharalah
demokrasi. Wallahulam.


begin:vcard 
n:Mohd Yusof;Alias 
tel;fax:07-5566272
x-mozilla-html:TRUE
org:Universiti Teknologi Malaysia;Kejuruteraan Elektrik Kuasa (POWER)
version:2.1
email;internet:[EMAIL PROTECTED]
title:Pensyarah
adr;quoted-printable:;;Fakulti Kejuruteraan Elektrik=0D=0A81310 UTM Skudai=0D=0AJohor Bahru=0D=0AJohor;;;;
fn:Alias Mohd Yusof
end:vcard

Kirim email ke