*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah
Assalamualaikum,

ILMU DIATAS SANGKAAN
Islam menganjurkan umatnya menerima sesuatu pendapat secara ilmiah di setiap 
tempat dan pada setiap keadaan berdasarkan kepada hujjah atau keterangan 
yang telah diteliti dengan baik dan ikhlas kerana Allah s.w.t. sahaja.

“ Dan janganlah kamu mengikuti apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan 
tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati/kalbu, semua itu 
akan diminta pertanggungjawabkannya” (Al Israa’, 17:36)

Janganlah kita mengikut apa-apa pun tanpa memikirkannya samada ianya 
benar-benar betul atau tidak. Dalam Islam tiada resmi padi, resmi lembu atau 
sebagainya. Tidak pula wujud dalam Islam konsep masuk dahulu atau rasa dulu 
baru tahu baik-buruknya sesuatu perkara itu. Orang yang bijaksana mengetahui 
akan akibat sesuatu perbuatan melalui ilmu yang luas dan kefahamannya yang 
mendalam. Orang yang pandai belajar dari kesalahan orang lain. Orang 
kebanyakan belajar dari kesalahannya sendiri. Orang yang bodoh tidak pernah 
belajar dari kesilapan sendiri. Siapakah kita semua wahai saudara saudari 
seIslamku sekelian ?

Sekiranya kita tidak mempunyai apa-apa data, janganlah membuat berbagai 
kenyataan umum dan mengikut sangkaan kita semata-mata yang akan menyimpang 
jauh dari kebenaran. Cerita-cerita yang tidak pasti kesahihannya juga 
bukanlah satu data mahupun hujjah. Ini bahaya kerana sesetengah kenyataan 
itu boleh memberi implikasi/fitnah yang besar.

“Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan-sangkaan sedang sesungguhnya 
sangkaan itu tidak berfaedah sedikit pun terhadap kebenaran “ (Al-Najm, 
53:28)

“Kamu jangan mengikuti sangkaan, kerana sesungguhnya sangkaan itu adalah 
sebohong-bohong perkataan” (HR. Bukhari)

Ini sangat penting kerana kesilapan besar yang berterusan, amalan yang jelas 
sesat dan didikan yang salah akan membawa kehancuran. Na’uzubillah min 
zalik.

“Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang mereka usahakan itu 
menutupi hati mereka.”
(Al-Muthaffifiin, 83:13)

KEBENARAN/HAK DIATAS IDEOLOGI/FAHAMAN
Dalam kebanyakan perdebatan mahupun muzakarrah, pengaruh ideologi/fahaman 
sesuatu golongan dijadikan salah satu faktor dalam menentukan kebenaran 
sesuatu perkara. Ini tidak betul sama sekali. Apa yang benar tetap benar jua 
tanpa mengira siapa yang mengucapkannya. Mana yang benar dari 
Wahabi/Sufi/Salaf atau sesiapapun akan tetap benar jua dan yang salah akan 
tetap salah jua. Oleh itu serangan personaliti tidak digalakan kerana kita 
mencari kebenaran untuk kebaikan semua dan bukannya untuk kemegahan dan 
memalukan orang lain.  Bukankah orang Islam itu bersaudara ? Oleh yang 
demikian, mempersoalkan keperibadian dan kebolehan ulamak-ulamak terdahulu 
dan membandingkan yang satu dengan yang lain tidak perlu dan tidak memberi 
apa-apa kebaikan. Kita bersangka baik terhadap mereka semuanya dan mengambil 
ilmu mereka berdasarkan hujjah mereka yang dapat kita terima. Dimana ada 
kesalahan, kita jadikan sebagai iktibar tanpa menghina mahupun mengeji. 
Semoga Allah melimpahkan keampunan dan petunjukNya keatas mereka dan kita 
semuanya.

“Perumpamaan orang2 mukmin dalam kasih sayang, kecintaan dan ikatan perasaan 
di antara mereka, bagaikan sekujur tubuh; apabila ada satu anggota tubuh 
sakit, maka seluruh tubuh tidak dapat tidur dan merasa sakit juga” (HR. 
Muslim)

Kesalahan atau kesilapan dalam beberapa perkara  tidak semestinya menjadikan 
sesuatu konsep atau seseorang itu salah atau sesat semuanya. Taktik ini 
banyak dan selalu digunakan oleh orang kafir Yahudi dan juga ahli politik. 
Mereka mencari apa-apa sahaja kesalahan yang nyata walaupun kecil dan 
digunakan sebagai alasan yang kuat untuk menolak kesemua hujjah-hujjah 
lawannya walaupun yang benar. Sepatutnya, mana yang salah sahaja perlu 
diperbetulkan, yang tidak tepat diperbaiki dan yang benar diterima dan 
diakui.

“…Mereka mempunyai hati tetapi tidak digunakan untuk memahami. Mereka 
mempunyai mata tetapi tidak digunakannya untuk melihat. Mereka mempunyai 
telinga tetapi tidak digunakannya untuk mendengar. Mereka ini seperti 
binatang ternak. Bahkan lebih sesat. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” 
(al-A’raaf, 7:179)

ISLAM KESELURUHAN DIATAS FAHAMAN SEBAHAGIAN
Kita menyeru umat manusia kepada Islam dan syariatnya secara keseluruhan. 
Bukan kepada yang sebahagian sahaja yang mana kita minati atau ikuti. Saya 
secara peribadi tidak suka kepada pepecahan dalam Islam yang mana wujudnya 
beberapa golongan yang mereka sendiri memanggil diri mereka sebagai Wahabi, 
Sufi, Salaf, Aljihad, Altabligh, AlArqam dan bermacam-macam nama tariqat 
(Ahmadiah contohnya) dan sebagainya.

“Sesungguhnya orang-orang yang memecah-belah agamanya, dan mereka menjadi 
bergolongan, sesungguhnya tidak ada sedikit pun tanggungjawabmu terhadap 
mereka….” (Al-An’aam, 6:159)

Malah menggunakan fahaman mereka sebagai landasan kepada Islam juga tidak 
sepatutnya berlaku. Ini boleh mewujudkan kefahaman Islam secara sebahagian 
berbanding dengan secara keseluruhan yang dianjurkan dalam Islam.

“Yang sebenarnya, mereka mendustakan apa yang mereka belum mengetahuinya 
dengan sempurna, padahal belum datang kepada mereka penjelasannya .….” 
(Yunus, 10:39)

Ayat diatas menganjurkan kita mempelajari dan “melihat” sesuatu dengan cara 
menyeluruh dan sempurna. Dalam falsafah sekular ini disebut sebagai “global 
thinking” ataupun “sateillite view” yang datang jauh kemudian selepas Islam. 
Malangnya banyak orang Islam tidak mengetahui dan tidak mengamalkan konsep 
yang penting ini. Oleh itu saya menganjurkan kita mempelajari Islam itu 
secara keseluruhan dan sempurna dahulu sebelum pergi jauh, mendalam dan 
terperinci dalam satu-satu bahagian. Terhadap sesuatu perkara, fikirkan dan 
fahamkan secara keseluruhan dahulu sebelum mengambil sesuatu pendirian.

Apa yang lebih menyedihkan ialah terdapat pula sebahagian para pengikut yang 
begitu berbangga dan berlebihan dalam mengagungkan golongan mereka. Mengapa 
demikian ? Allah s.w.t berfirman,
“…….dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang memusrikkan Allah. Iaitu 
orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa 
golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan 
mereka ” (Ar-Ruum, 30:31-32 )

Kepunyaan Allahlah segala yang dilangit dan segala yang dibumi dan kepada 
Allah kembalinya semua urursan. Semoga Allah melimpahkan keampunanNya dan 
petunjukNya kepada saya dan kita semua. Amin.

Wallahu 'alam.
Wassalam,
Bulan Jaya


________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Bulan Jaya" <[EMAIL PROTECTED]>

Reply via email to